SHAH ALAM, 7 JUN: Pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24 Jam oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperluas jaringan perlindungan pekerja yang berlaku di luar waktu bekerja.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan skim tersebut yang memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja serta memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada golongan berkenaan.
“Risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sama ada di rumah, ketika bersukan atau menjalankan aktiviti harian.
"Perlindungan kini bukan sahaja meliputi kemalangan ketika bekerja malah kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja juga. Lebih sembilan juta pekerja dijangka mendapat manfaat daripada peluasan perlindungan ini," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata perlindungan yang lebih komprehensif itu amat penting terutama ketika rakyat berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Justeru, skim ini memberi ketenangan fikiran kepada pekerja dan keluarga mereka kerana terdapat jaringan perlindungan yang boleh membantu sekiranya berlaku musibah," katanya.
Bermula 1 Jun lalu, lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) secara automatik menikmati perlindungan menyeluruh daripada kesan kemalangan bukan bencana kerja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan skim yang diperkenalkan menerusi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 itu menyediakan jaringan perlindungan keselamatan sosial yang lebih meluas, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
Beliau berkata menerusi Skim LINDUNG 24 Jam, PERKESO menyediakan lapan faedah bagi menjamin kebajikan dan kelangsungan hidup pencarum, antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal serta Faedah Orang Tanggungan.
Selain itu, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional atau Return To Work (RTW), serta Faedah Pendidikan turut disediakan bagi membantu kebajikan pencarum dan masa depan waris mereka.







