SHAH ALAM, 7 JUN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura selama tiga hari bermula esok di bawah Program S R Nathan Fellowship.
Kementerian Luar Negeri Singapura berkata lawatan yang berlangsung dari 8 hingga 10 Jun itu akan memberi peluang kepada Amirudin mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan republik berkenaan.
Antaranya Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong, Menteri Luar Negeri, Vivian Balakrishnan, Menteri Pendidikan, Desmond Lee serta Menteri Pembangunan Negara, Chee Hong Tat.
“Amirudin turut dijadual mengadakan sesi libat urus bersama beberapa agensi Kerajaan Singapura dan menerima taklimat berhubung perancangan ekonomi, promosi pelaburan, pembangunan semula bandar serta perancangan bandar.
“Selain itu, beliau juga akan diberi penerangan berkaitan sektor pendidikan, seni dan budaya sepanjang lawatan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Program S R Nathan Fellowship diwujudkan bagi menggalakkan pertukaran pandangan serta perkongsian pengalaman antara pemimpin dan pegawai kanan luar negara dengan Singapura dalam pelbagai bidang strategik.








