Jaslinda temui nota pasukan SAR sehari sebelum ditemukan selamat

7 Jun 2026, 9:21 AM
Jaslinda temui nota pasukan SAR sehari sebelum ditemukan selamat

SHAH ALAM, 8 JUN: Nota yang ditinggalkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di dalam hutan ditemukan pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, sehari sebelum dia ditemui selamat selepas hampir dua minggu dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata nota itu dijumpai Jaslinda ketika berada di Kem Air Busuk pada 5 Jun lalu.

Menurutnya, nota berkenaan ditinggalkan oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP) Hafis semasa operasi pencarian dijalankan di kawasan tersebut pada 30 Mei lalu.

"Jaslinda pula hanya sampai ke kawasan berkenaan 5 Jun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata nota itu kemudian dibawa keluar oleh Jaslinda dan ditunjukkan kepada pasukan penyelamat selepas wanita berkenaan ditemukan semalam.

Berdasarkan nota tersebut, Hafis meninggalkan pesanan ringkas yang ditujukan kepada Jaslinda.

Nota yang ditinggalkan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kem Air Busuk ditemui pendaki wanita, Jaslinda Saludin sebaik tiba di kawasan itu pada 5 Jun 2026. FOTO IHSAN Bomba

"Kak Jas Please Stay Satu Tempat, Orang Ramai mencari."

Terdahulu, Jaslinda ditemukan selamat oleh penduduk Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu petang semalam selepas 14 hari dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih.

Beliau kemudiannya dibawa keluar dari kawasan hutan sebelum dihantar ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan.

Sebelum kejadian, Jaslinda bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu menerusi laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan sebelum berhenti daripada meneruskan perjalanan bersama kumpulan.

Bagaimanapun, beliau dipercayai meneruskan pendakian ke puncak dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi, 24 Mei lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.