SHAH ALAM, 7 JUN: Polis giat memburu sekumpulan lelaki yang mencuri kabel di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata siasatan masih dijalankan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.
"Buat masa ini belum ada tangkapan dan siasatan lanjut giat dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan polis mengesan video tular membabitkan kejadian itu yang dimuat naik di TikTok dan satu laporan polis sudah dibuat Khamis lalu.
Khairul Anuar Khalid berkata seorang lelaki tempatan memaklumkan melihat empat lelaki yang tidak dapat dipastikan bangsa mereka memunggah kabel yang dipotong pendek ke dalam kereta Honda Odyssey.







