SHAH ALAM, 7 JUN: Seorang lelaki ditemukan lemas ketika memancing di sebuah tasik berhampiran Klinik Kesihatan Serendah, Hulu Selangor, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.06 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi dengan kekuatan empat anggota serta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
“Komander operasi melaporkan mangsa ialah seorang lelaki berbangsa Cina berusia lingkungan 50-an yang dipercayai lemas ketika memancing di tasik berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata mangsa berjaya dibawa naik oleh anggota bomba dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali.
Beliau berkata mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.16 petang.








