SHAH ALAM, 7 JUN: Hanya dengan beberapa patah perkataan, seorang wanita Orang Asli dari Kampung Lubuk Gaharu berjaya menyentuh hati ribuan rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kehilangan pendaki Jaslinda Saludin, 49, sejak dua minggu lalu.
“Selamat pulang, Puan Jaslinda…”.
Ungkapan ringkas itu dirakam dalam sebuah video yang tular di media sosial ketika Jaslinda dibawa menaiki kenderaan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Hospital Tapah malam tadi.
Beberapa jam sebelum itu, Jaslinda ditemui selamat oleh penduduk Orang Asli di kawasan berhampiran Kampung Lubuk Gaharu selepas 14 hari dilaporkan hilang ketika mendaki di Gunung Batu Putih.
Beliau kemudian dibawa ke rumah Tok Batin kampung berkenaan sebelum diserahkan kepada pasukan penyelamat.
Dalam rakaman berkenaan, wanita Orang Asli itu kedengaran mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sejak 24 Mei lalu.

“Terima kasih Jabatan Hutan, terima kasih abang bomba, terima kasih semua yang terlibat. Selamat pulang, Puan Jaslinda,” katanya berulang kali dalam nada penuh syukur dan sebak.
Rakaman itu turut memaparkan suasana mengharukan apabila penduduk kampung berkumpul di tepi jalan bagi menyaksikan Jaslinda dibawa keluar dari kawasan berkenaan.
Sebaik beberapa kenderaan penyelamat mula bergerak meninggalkan Kampung Lubuk Gaharu, kedengaran sorakan dan tepukan daripada orang ramai yang hadir sebagai tanda syukur selepas penantian hampir dua minggu berakhir dengan berita gembira.
Ucapan ringkas wanita itu pantas mencuri perhatian warga maya yang mengikuti perkembangan operasi SAR berkenaan sejak hari pertama kehilangan Jaslinda dilaporkan.
Ramai netizen meluahkan rasa lega dan terharu, malah menyifatkan kata-kata tersebut seolah-olah mewakili doa dan harapan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menantikan kepulangan pendaki itu dengan selamat.
Penemuan Jaslinda sekali gus menamatkan penantian penuh debaran keluarga, rakan-rakan dan orang ramai yang mengikuti perkembangan kes berkenaan sejak dua minggu lalu.
Operasi SAR yang berlangsung hampir 14 hari membabitkan pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sukarelawan serta komuniti Orang Asli.
Malah, masyarakat Orang Asli memainkan peranan penting dalam membantu pasukan penyelamat menjejaki mangsa di kawasan hutan yang mencabar sehingga membawa kepada penemuan Jaslinda petang semalam.
Di sebalik kejayaan operasi itu, ucapan “Selamat pulang, Puan Jaslinda” terus menjadi perhatian ramai kerana menggambarkan nilai kemanusiaan, kesyukuran dan semangat kebersamaan yang menyatukan pelbagai pihak dalam usaha membawa pulang seorang pendaki ke pangkuan keluarganya dengan selamat.






