SHAH ALAM, 7 JUN: Pengalaman menemui sebuah kawasan menyerupai gua ketika bersendirian di tengah hutan menjadi antara detik paling misteri dan mencemaskan dilalui pendaki wanita Jaslinda Saludin sepanjang 14 hari dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak.
Wanita berusia 49 tahun itu berkata beliau memasuki kawasan berkenaan ketika berusaha mencari jalan keluar selepas tersesat sewaktu menyertai pendakian Trans Spencer Chapman.
"Dia (kawasan) ada macam gua. Saya masuklah dan rasa macam disuruh (seolah-olah) masuk," katanya dalam rakaman video yang tular di media sosial.
Jaslinda berkata, sebelum menemui kawasan itu beliau telah beberapa kali cuba mencari laluan keluar, namun sering kembali ke lokasi sama walaupun menukar arah perjalanan.
"Kemudian saya cuba ubah haluan ke kanan sebelum menemui kawasan berbukit," katanya.
Menurutnya, keadaan muka bumi yang mencabar turut menguji ketahanan fizikalnya sepanjang berada di dalam hutan.

"Macam nak mati sebab tanah terlalu lembik. Turun naik kawasan berbukit tanpa henti. Ada air di kawasan itu dan saya minum air tersebut," katanya.
Menceritakan detik sebelum tersesat, Jaslinda berkata beliau meneruskan perjalanan bersendirian selepas rakannya memintanya bergerak terlebih dahulu untuk mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun, keadaan menjadi semakin sukar apabila beliau mula hilang arah dan gagal menemui laluan keluar dari kawasan hutan berkenaan.
Kisah Jaslinda mendapat perhatian ramai selepas beberapa rakaman video memaparkan pengalamannya sepanjang tempoh kehilangan itu tular di media sosial.
Semalam, beliau ditemui selamat di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu selepas hampir dua minggu dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih.
Penemuan itu disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon.
Sebelum kejadian, Jaslinda bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian pada 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Beliau dan seorang lagi pendaki dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, namun kemudiannya meneruskan perjalanan ke puncak sebelum dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei lalu.








