
KUALA SELANGOR, 18 OGOS: Ketua Jurulatih Bola Jaring Selangor, Puah Pei San menyifatkan barisan pemainnya mempamerkan aksi yang positif walaupun tewas 49-51 kepada Kedah dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B SUKMA 2026, di Stadium Tertutup Kuala Selangor, hari ini.
Beliau berkata, pemain Selangor yang rata-ratanya berusia antara 17 hingga 18 tahun berjaya memberikan saingan kepada Kedah yang turut menampilkan beberapa pemain kebangsaan.
“Walaupun kita tidak berjaya mendapatkan mata pertama untuk kontinjen Selangor, saya kira pemain sudah pamerkan persembahan yang agak bagus untuk perlawanan pertama ini.

“Kita menentang Kedah yang mempunyai beberapa pemain negara dan pasukan Selangor pula merupakan ‘underdog’, tetapi pemain yang sangat muda ini dapat memberikan tentangan hebat, jadi itu sangat membanggakan,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Menurutnya, pengalaman beraksi dalam perlawanan pertama di gelanggang sendiri menjadi satu permulaan baik buat sebahagian besar pemain Selangor yang baharu beraksi di pentas temasya itu.
Puah Pei San berkata, pasukannya akan memberi fokus kepada aksi seterusnya dengan memastikan pemain beraksi dengan lebih tenang dan sabar bagi memburu mata pada perlawanan esok menentang Sabah.









