Oleh A.A. Zailiani
Ilustrasi Muizzah
Salam sejahtera(ng) saudara-saudari rakyat insomnia, warganegara republik bantal, pemegang passport mimpi dan visa kesunyian. Malam ini aku berdiri di rostrum langit sebagai YB Malam. Kotku dijahit daripada kulit gerhana. Poketku penuh serbuk bintang yang dipungut dari longkang cakrawala. Di leherku tergantung jam mati dan seekor kelelawar yang kehausan darah waktu.
Aku baru pulang dari mesyuarat kabinet semesta. Bulan sebagai setiausaha, mencatat minit dengan pen cahaya pada kertas awan. Burung hantu menjadi pegawai risikan, menghantar laporan sulit tentang jutaan manusia yang telah pulang ke dalam diri, lalu mendapati ada sesuatu yang masih belum berangkat.
Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,
Aku telah mentadbir wilayah gelap ini sejak sekian lama. Aku hafal peta perasaan manusia. Aku tahu lorong-lorong sunyi yang sering tumbuh di belakang senyuman. Aku tahu ada stesen kereta api kehilangan di bawah rusuk; tempat kenangan berbaris membeli tiket menuju masa silam.
Maka malam ini aku mengisytiharkan manifesto:
Aku akan membina jambatan-jambatan kabus antara mimpi dan luka, agar manusia yang lemas dalam dirinya boleh berjalan pulang tanpa tenggelam ke dasar kenangan.
Aku akan menggantung bulan-bulan kecil di tingkap dukacita. Biar cahaya menitis perlahan seperti susu dari payudara langit, masuk ke kamar-kamar sunyi dan memandikan insomnia yang berdebu.
Aku akan menanam ribuan pokok sepi di halaman benak. Pada dahan-dahannya akan hinggap burung-burung fikiran kalian yang sepanjang siang terbang liar di langit kepala.
Dan undang-undang pertamaku: Semua jam akan dipenjara malam ini. Jarumnya akan dicabut, dan detik akan dijahit mulutnya. Kerana waktu terlalu lama menjadi pemburu. Dan kalian sudah terlalu lama hidup sebagai rusa.
Aku juga akan membuka rumah perlindungan untuk perkara-perkara tercicir:
i) untuk pelukan yang mati di bahu
ii) untuk tulang kata yang patah di lidah
iii) untuk tangisan yang dikurung di penjara mata manusia.
Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,
Manifesto terbesarku bukan langit, bulan, dan bintang. Aku mahu mengembalikan manusia kepada alamat asalnya. Kerana sejak dahulu aku melihat kalian berkeliaran di dunia seperti posmen membawa surat yang tertulis nama sendiri tetapi lupa alamat penerima.
Waktu mencumbui kita. Sebentar lagi subuh akan melakukan rampasan kuasa; matahari akan datang dengan tentera cahaya dan trompet burung. Dan aku akan pulang ke pejabat rahsia di belakang gerhana, sambil mengusung guni-guni sunyi yang gugur dari poket tidur kalian.
Sekian, terima kasih.







