SHAH ALAM, 6 JUN: Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat selepas hilang di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak berkongsi detik mencemaskan sepanjang berada di kawasan hutan berkenaan.
Menerusi video yang tular di media sosial, beliau dilihat menikmati mi segera sambil menceritakan pengalamannya kepada komuniti Orang Asli yang menemuinya.

Menurut Jaslinda, beliau meneruskan perjalanan bersendirian selepas diminta bergerak terlebih dahulu untuk mendapatkan bantuan.
“Jadi akak gerak dulu sampai atas. Bila sampai di atas, akak tunggu sekejap. Tapi nak tunggu lama sangat pun takut.
“Akak jatuh banyak kali,” katanya.
Jaslinda ditemui selamat petang tadi berhampiran Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Pos Musoh petang tadi selepas dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu.
Beliau kini berada di rumah Tok Batin kampung berkenaan sementara menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa.
Berikut kronologi kes kehilangan Jaslinda:
23 Mei
Jaslinda menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain dan dua malim gunung.
24 Mei
Seorang peserta pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami sesak nafas dan muntah darah. Mereka berhenti bersama malim gunung di Kem Batu Kor.
Jaslinda juga turut berhenti kerana sakit kaki, namun dipercayai meneruskan pendakian secara bersendirian untuk mengejar kumpulan di hadapan ke puncak Gunung Batu Putih.
Mangsa kali terakhir dilihat sekitar jam 7.30 pagi oleh malim gunung sebelum dilaporkan hilang.

Sukarelawan Orang Asli akan menggunakan laluan alternatif yang jarang dilalui bagi membantu mengesan jejak pendaki yang hilang sejak 24 Mei lalu. Foto BERNAMA 25 Mei
Pasukan SAR menemui kesan tapak kasut dipercayai milik Jaslinda di kawasan bukan laluan utama pendakian.
26 Mei
Operasi SAR fokus ke kawasan di laluan antara Kem Sukaneka, Gunung Rayu dan Pos Musoh.
Pasukan SAR menemui botol air, suplemen, bekas suplemen, pembalut gula-gula dan jejak tapak kaki.
27 Mei
Petunjuk baharu ditemui termasuk botol air dan bungkusan suplemen dipercayai milik mangsa di laluan menuju Gunung Rayu.
28 Mei
Polis merakam keterangan enam malim gunung dan suami mangsa.
29 Mei
Tumpuan operasi SAR beralih ke kawasan Sungai Ayer Busok berdasarkan kemungkinan mangsa turun mencari sumber air.
30 Mei
Operasi diteruskan tetapi belum ada keputusan untuk menghentikan operasi

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, sejak 24 Mei lalu memasuki hari ke-10. Foto Bernama 31 Mei
Rakaman kamera Jabatan PERHILITAN di beberapa lokasi laluan pendakian menunjukkan Jaslinda melalui kamera jam 11.22 pagi, pada 24 Mei, namun tiada bukti beliau berpatah balik.
1 Jun
Pasukan bomba mengumumkan bantuan 22 sukarelawan Orang Asli Kampung Ampang Woh akan menyertai operasi.
2 Jun
Sukarelawan Orang Asli digerakkan untuk membantu pencarian di kawasan luar trek pendakian.
3 Jun
Operasi SAR diteruskan dalam skala kecil.
Polis memaklumkan kira-kira 95 peratus kawasan Gunung Batu Putih sudah diperiksa sepanjang 11 hari operasi SAR.
6 Jun
Jaslinda ditemui selamat di kawasan berhampiran Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu di Pos Musoh.

Seramai 22 sukarelawan Orang Asli suku Semai akan memulakan operasi pencarian selama enam hari bermula esok bagi membantu menjejaki pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih. Foto BERNAMA






