TAPAH, 8 JUN: Pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, menzahirkan penghargaan kepada pengamal media yang membuat liputan setiap hari mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) dirinya sebelum beliau berjaya ditemukan dalam keadaan selamat pada Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata menerusi liputan media dari semasa ke semasa, berita yang benar dapat disampaikan, sekali gus menangkis sebarang spekulasi.
Beliau berkata Jaslinda turut berkongsi cerita terdengar bunyi helikopter selain sering meniup wisel sepanjang tersesat di dalam hutan itu.
“Beliau kata di dalam hutan itu beliau ada wisel dan beliau selalu tiup wisel itu. Beliau dengar bunyi helikopter lalu-lalang dan beliau jumpa nota SAR itu. Sebutnya tadi, ketika beliau bertentangan arah, SAR dah lalu dan beliau jumpa nota itu,” katanya.
Mohd Azlan berkata demikian selepas melawat Jaslinda di Wad Perempuan, Hospital Tapah di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak Datuk A Sivanesan, dengan diiringi Pengarah Hospital Tapah Dr Wan Immi Salim.
Sementara itu, Mohd Azlan berkata kerajaan negeri berkemungkinan akan membincangkan pemberian insentif kepada pasukan SAR pada mesyuarat exco kerajaan negeri nanti.
“Mungkin (pemberian insentif kepada pasukan SAR) akan dibincangkan bersama Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad). Kita tunggu pengumuman Menteri Besar,” katanya.
Sabtu lalu, Jaslinda ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira 5 petang oleh beberapa penduduk Orang Asli.
Wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh bersama-sama 13 individu dan dua Malim Gunung Perhutanan.







