Kehilangan anggota badan seperti kaki antara ujian besar yang mampu mengubah keseluruhan kehidupan seseorang.
Bukan setakat kesan fizikal, proses penerimaan diri serta penyesuaian mental juga bukan mudah. Terpaksa pula menjalani kehidupan norma baharu yang mencabar.
Penggunaan kaki palsu pula memberi harapan baharu untuk bergerak lebih bebas. Pun begitu, pemakainya berdepan cabaran fizikal dan psikologi seperti kesakitan atau tanggapan sosial yang boleh menjejaskan keyakinan diri.
Menyedari hakikat itu, profesor dan pakar perunding kanan Ortopedik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta kaki palsu lebih ringan dan fleksibel bagi mengembalikan semangat serta kehidupan pesakit.
Inovasi Prof Dr Mohd Yazid Bajuri juga mendapat pengiktirafan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) yang mengesahkan ia satu-satunya kaki palsu mesra muslim melalui ciri-ciri dinamik seumpamanya di dunia.
Ilham mencipta ‘MyB Prosthetic Limb’ lahir daripada pengalaman 17 tahun sebagai pakar merawat pesakit yang menjalani amputasi, khususnya akibat kencing manis atau diabetes.

“Permulaan inovasi ini bermula pada 2018. Ketika itu saya lihat pesakit saya mengalami masalah menggunakan kaki palsu terutama ketika mahu menunaikan solat dan duduk di lantai.
“Dari situ juga mereka cerita tentang berat dan aksesibiliti atau capaian ketika memakai kaki palsu. Jadi, saya bersama rakan lain cuba dapatkan idea untuk ubah suai kaki palsu supaya jadi lebih ringan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau bersama rakan penyelidiknya, masing-masing mengeluarkan modal sendiri kira-kira RM15,000 hingga RM20,000 untuk membangunkan prototaip awal.
Kejayaan menghasilkan prototaip dalam tempoh setahun itu melayakkan pasukan penyelidiknya menerima geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta UKM.
Kaki palsu itu kemudian melalui pelbagai peringkat tahap kesiapsiagaan teknologi (TRL) sebelum mencapai tahap tertinggi. Ia bersedia untuk dikomersial mulai 2025.
“Inovasi itu mula digunakan pesakit seawal 2021 menerusi program pengesahan pasaran, dengan kira-kira 40 pesakit telah menerima manfaat sepanjang tempoh percubaan.

“Ujian itu dijalankan di beberapa hospital termasuk Hospital UKM, Hospital Melaka, Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru serta beberapa hospital di Pantai Timur,” katanya.
Teknologi itu juga memiliki reka bentuk fleksibel dengan mekanisme buku lali sehingga 180 darjah, sekali gus berupaya membantu pesakit melakukan pergerakan rukuk dan sujud dengan lebih stabil.
Menurut anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu, inovasi tersebut bukan sahaja membantu umat Islam, malah digunakan masyarakat bukan Islam bagi melakukan senaman seperti yoga atau sekadar duduk di lantai.
“Malah, versi terbaharu yang kami hasilkan kini turut dilengkapi ciri kalis air yang membolehkan pengguna mengambil wuduk tanpa perlu menanggalkan kaki palsu.
“Dari segi berat, kaki palsu kami hanya seberat kira-kira 2.2 hingga 2.5 kilogram (kg), jauh lebih ringan berbanding kaki palsu konvensional yang biasanya mempunyai berat melebihi 3 kg,” katanya.
Pada awalnya, Prof Dr Mohd Yazid mengakui cabaran menghasilkan inovasi kaki palsu antaranya faktor kekangan kewangan tetapi beliau sentiasa memandang setiap halangan sebagai sesuatu yang positif.
Sujud pertama kali
Sehingga kini, inovasi ‘MyB Prosthetic Limb’ menerima pelbagai pengiktirafan nasional dan antarabangsa dan dimanfaatkan pesakit dari pelbagai latar belakang.
“Momen paling menyentuh hati bagi saya adalah apabila seorang pesakit warga emas menangis selepas berjaya sujud buat pertama kali sejak kehilangan kaki.
“Beliau kata mahu cuba sujud. Bila dia berjaya, dia menangis. Dia kata sudah lama rasa rindu hendak sujud. Masa itu saya sendiri rasa sangat sebak dan tersentuh,” kata Prof Dr Mohd Yazid.
Kaki palsu rekaannya hanya boleh dipakai selepas pesakit menjalani proses penilaian secara menyeluruh manakala tempahan disiapkan dalam masa tiga hari.
Semua proses tempahan disiapkan sendiri pihaknya di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan dijual pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding jualan kaki palsu konvesional di pasaran.
“Tidak semua pesakit boleh gunakan kaki palsu mesra solat ini kerana kita perlu lihat, sebagai contoh jika pesakit ada masalah jantung atau tidak dan sebagainya.
“Kalau berminat, boleh jumpa saya di HCTM dan perlu jalani proses penilaian rapi kerana ini amat penting untuk pesakit. Kalau ada pesakit yang terdiri daripada golongan asnaf juga, insya-Allah kita cuba bantu,” katanya.












