SHAH ALAM, 5 JUN: Kira-kira 15,000 daripada 60,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara pada usia sekitar 40 tahun masih berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan tetap selepas menamatkan perkhidmatan.
Bendahari Persatuan Veteran ATM (PVATM), Mejar (B) Abu Kassim Jadi berkata, keadaan itu menjejaskan sumber pendapatan golongan berkenaan yang masih mempunyai komitmen keluarga termasuk kos pendidikan anak-anak.
Menurutnya, cabaran mendapatkan pekerjaan kekal terus menjadi antara isu utama dalam kalangan veteran ATM, terutama apabila mereka perlu bersaing dengan tenaga kerja muda yang lebih memenuhi keperluan pasaran semasa, lapor Berita Harian.
"Ramai pesara ATM bersara ketika masih berada dalam usia produktif, namun tidak mudah memperoleh pekerjaan tetap.
"Mereka bukan sahaja berdepan persaingan dengan golongan muda, malah perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan awam selepas berkhidmat antara 10 hingga 20 tahun dalam persekitaran ketenteraan yang berdisiplin," katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) menawarkan 3,208 peluang pekerjaan kepada bakal pesara serta veteran ATM menerusi kerjasama strategik antara kedua-dua kementerian.
Mengulas inisiatif itu, Abu Kassim berkata peluang pekerjaan yang disediakan mampu membantu veteran membina kerjaya kedua selepas bersara, meskipun jumlah ditawarkan masih belum dapat memenuhi keseluruhan permintaan.
Katanya, veteran ATM memiliki kelebihan dari segi disiplin, komitmen dan pengalaman yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor termasuk pengangkutan, logistik, pelabuhan, rel, pengangkutan awam serta rantaian bekalan.
Beliau turut menggesa kerajaan terus memperkukuh agenda kebajikan veteran ATM bagi memastikan golongan itu menikmati kehidupan yang lebih terjamin selepas tamat perkhidmatan.
"Veteran ATM telah mengorbankan sebahagian besar usia mereka untuk mempertahankan negara. Pengorbanan itu wajar dihargai melalui dasar dan inisiatif yang membantu mereka meneruskan kehidupan selepas bersara," katanya.






