GEORGETOWN, 5 DIS: Selangor berhasrat memperluas promosi pelancongan perubatan ke Timor Leste tahun depan sebagai usaha menarik lebih ramai pelawat ke negeri ini bagi rawatan dan penjagaan kesihatan.
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata peluang itu akan dimanfaat sebaiknya seiring penyertaan Timor Leste dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean).
Menurutnya, pada masa ini, Selangor menawarkan 42 hospital swasta dilengkapi teknologi terkini dan pakar perubatan bertauliah dalam pelbagai bidang yang diyakini menggamit minat rakyat negara terbabit mendapatkan perkhidmatan.
“Kita tidak boleh tertinggal di belakang dengan Melaka dan Pulau Pinang (bagi pelancongan perubatan), sebaliknya kena seiring dengan mereka. Sebab itu kita mahu tumpu juga pasaran Timor Leste,” katanya.
Beliau bercakap kepada media pada program Media Cruise Trip 2025 yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling dan Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Kenny Cheong Ken Lee.
Dalam perkembangan sama, Suee Lim berkata usaha mempromosi sektor berkenaan di Indonesia akan diteruskan tahun depan dengan menumpukan kawasan Medan, Surabaya dan Jakarta.
“Medan misalnya memang kita sentiasa berurusan bagi promosi pelancongan perubatan dan ia merupakan sasaran yang besar.
“Mereka suka datang ke Selangor untuk mendapatkan perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan dan pembedahan lastik kerana mereka yakin dengan kebolehan doktor kita,” katanya.
Untuk rekod, Selangor menyertai Ekspo Kesihatan Malaysia (MHX) Indonesia di Makassar dan Yogyakarta pada 19 hingga 27 Jun lalu bagi mempamerkan kemudahan perubatan dan perkhidmatan kesihatan negeri ini.
Hospital swasta terlibat MAHSA Hospital, Avisena Specialist Hospital, Sunway Medical Centre, MSU Medical Hospital, Alpha IVF Women Specialist dan KPJ Healthcare Berhad dengan kepakaran tersedia di fasiliti itu termasuk kardiologi, ortopedik, rawatan kesuburan (IVF), onkologi serta perubatan umum.
Tahun lalu, Malaysia mencatat kehadiran 1.6 juta pelancong dalam sektor pelancongan kesihatan dengan pendapatan mencecah RM2.72 bilion iaitu peningkatan 21 peratus berbanding 2023.


