SHAH ALAM, 3 JUN: Penulis terkenal Faisal Tehrani tampil dengan novel terbaharunya Mahakamus, sebuah karya fiksyen sains fantasi yang disifatkan pertama seumpamanya di Malaysia.
Menurut penerbit Kawah Buku, novel ke-29 karya Faisal disusun dalam bentuk kamus, menggabungkan pelbagai bentuk antaranya puisi, cerpen, sastera Islam, skrip permainan video dan sketsa.
Jelasnya, karya eksperimental itu turut bermain dengan bentuk laporan berita, minit mesyuarat, makalah akademik dan esei, menjadikannya benar-benar melangkaui kelaziman sastera Melayu.
"Secara ringkasnya, Mahakamus merupakan sebuah pikares (picaresque) yang menjadikan anatomi otak manusia sebagai watak-wataknya, yang memperwakilkan kepada sifat kemanusiaan.
"Satunya berlandaskan kepada sifat manusia yang merujuk kepada emosi dan trauma dan satu lagi sifat kemanusiaan merujuk kepada data-data empirikal semata," kata Kawah Buku dalam kenyataan.
Secara ringkas, novel berkenaan mengisahkan Amigdala, seorang gadis dari masa hadapan yang merentas pelbagai jagat untuk memberi amaran kepada leluhurnya mengenai ancaman sebuah mesin kecerdasan buatan dikenali sebagai Leksikografer ciptaan Empire Musk.
Mesin itu digambarkan sebagai sebuah "otak" yang hanya mempunyai hipokampus tanpa unsur amigdala, sekali gus hanya menilai sesuatu berdasarkan data empirikal tanpa mengambil kira emosi, memori dan trauma yang membentuk pengalaman manusia.
"Justeru, Mahakamus, dari satu abjad ke abjad yang lain, merupakan sebuah pertarungan dan pengembaraan epik Amigdala yang cuba memberi amaran kepada leluhurnya akan bahaya mesin tersebut dan jahatnya rancangan Musk dalam usahanya untuk memutihkan sejarah," menurut penerbit itu lagi.
Pada masa sama, novel tersebut turut menyulam naratif berasaskan kisah hidup Tun Dr Mahathir Mohamad, terutamanya sepanjang tempoh 22 tahun beliau memerintah sebagai perdana menteri.
Kawah Buku menyifatkan karya itu berkemungkinan menjadi satu-satunya biografi Tun Mahathir yang dipersembahkan secara kreatif, membuktikan Faisal terus bereksperimen dalam sastera tempatan.
Menurut penerbit itu, Mahakamus juga mencerminkan keberanian Faisal mengambil risiko dalam berkarya meskipun menyedari hasil eksperimen tersebut mungkin menerima pelbagai reaksi pembaca.
"Karya ini, menurut beliau (Faisal), boleh jadi “diangkat dan diiktiraf; dan juga boleh jadi dibungkus dan dibuang ke lautan. Tetapi mengenalinya, jelas hal tersebut sesekali tidak membungkam Faisal Tehrani daripada mengetengahkan dan mengambil jalan penuh risiko tersebut.
"Mahakamus jelas memencarkan inspirasinya sebagai seorang karyawan marginal yang lahir di tanah air bernama Malaysia," jelas Kawah Buku.










