SHAH ALAM, 2 JUN: Polis menahan seorang wanita kerana disyaki mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 10 sebuah bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Johor Bahru dalam kejadian pada 2 Mei lepas.
Pemangku Ketua Polis Johor Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi berkenaan di kawasan parkir flat berkenaan sekitar 2.40 petang.
Menurutnya, tangkapan terhadap suspek berusia 22 tahun itu dilakukan sekitar 12 tengah hari tadi di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA).
"Tangkapan dibuat berdasarkan keterangan yang ada terhadap suspek yang telah membuang bayi yang masih bernyawa dari tingkat 10 sehingga menyebabkan kematian," katanya dalam kenyataan.
Chuan Huat berkata suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan beberapa keterangan saksi telah diambil dengan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru esok.








