Pemandu lawan arus di LDP cedera selepas rempuh dua kereta

1 Jun 2026, 3:59 PM
Pemandu lawan arus di LDP cedera selepas rempuh dua kereta

SHAH ALAM, 1 JUN: Seorang lelaki yang tular memandu secara melawan arus di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) cedera selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Serdang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.07 tengah hari.

"Hasil siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu oleh seorang lelaki memandu secara melawan arus di kilometer (km) Lebuhraya LDP.

"Lelaki terbabit kemudian melanggar dua kereta jenis Perodua Axia dan Honda CRV yang datang dari arah Sunway sedang menuju ke Puchong," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemandu Honda City yang memandu melawan arus mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di hospital.

Katanya, sampel darah lelaki berkenaan telah diambil untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua pemandu Perodua Axia dan Honda CRV tidak mengalami kecederaan serius, manakala keterangan pemandu Honda City akan dirakam selepas selesai menerima rawatan," katanya.

Muhamad Farid berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diatas untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi IPD Serdang di talian 09-8074 2222," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video tular di media sosial memaparkan sebuah kereta berwarna hitam dipandu secara melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan yang dilengkapi kamera papan pemuka.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.