Laluan pusingan U bertingkat di LDP kurangkan kesesakan di Persimpangan Serdang

7 Apr 2026, 5:38 AM
Laluan pusingan U bertingkat di LDP kurangkan kesesakan di Persimpangan Serdang

SHAH ALAM, 7 APRIL: Pembinaan laluan pusingan U bertingkat bernilai RM80 juta di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) bagi mengurangkan kesesakan di sekitar Persimpangan Serdang dalam proses muktamad.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata perunding projek telah membentangkan reka bentuk laluan pusingan U bertingkat kepada MBSJ.

“Kami sudah meneliti reka bentuk yang diluluskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan bersetuju bahawa ia perlu dibina.

“Bagaimanapun, Jabatan Kejuruteraan kami masih memuktamadkan bajet projek,” katanya lapor The Star.

Beliau menjelaskan, projek tersebut dijangka mengambil tempoh tiga tabun untuk disiapkan selain kos pembinaan dikongsi antara pemaju dan MBSJ.

“Kami juga sedang memuktamadkan pemaju yang akan menyumbang kepada projek ini,” katanya tanpa menyatakan tarikh mula pembinaan.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang, Abbas Salimi Che Adzmi @ Azmi berkata terdapat dua projek lain sedang dirancang bagi mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut.

“Kesibukan trafik di Persimpangan Serdang dan Jalan Putra Permai berlaku kerana hanya satu jalan utama yang menghubungkan kawasan perumahan berhampiran.

“Sebelum ini, pemaju sepatutnya membina laluan penghubung yang menghubungkan Kota Perdana ke Persiaran Desaminium 1 kira-kira 20 tahun lalu, namun tidak dilaksanakan.

“Pembinaan laluan pusingan U bertingkat ini dijangka bermula awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, manakala satu lagi projek melibatkan pembinaan dua jejambat di sepanjang Jalan Putra Permai turut dirancang bagi memintas lampu isyarat di jalan tersebut.

“Perunding sedang menjalankan kajian mengenainya. Pembinaan dijangka bermula hujung tahun depan,” katanya.

Laluan pusingan U bertingkat yang dicadangkan itu membolehkan pengguna jalan raya dari Putrajaya ke Puchong memintas Persimpangan Serdang dan terus membelok ke Jalan Putra Permai.

Persimpangan Serdang dibuka kepada orang ramai pada 1999 dan digunakan pengguna dari LDP ke Seri Kembangan melalui Jalan Putra Permai.

Seiring pembangunan pesat di kawasan sekitar, kesesakan trafik berlaku di persimpangan tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.