Cap koleksi penerbit jadi fenomena baharu di PBAKL 2026

1 Jun 2026, 5:00 AM
Cap koleksi penerbit jadi fenomena baharu di PBAKL 2026
Cap koleksi penerbit jadi fenomena baharu di PBAKL 2026

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Jika dahulu pengunjung pulang dengan beg penuh dengan buku, kini ramai turut memburu cap koleksi eksklusif yang ditawarkan pelbagai penerbit di reruai masing-masing.

Fenomena yang semakin mendapat sambutan itu menjadikan kunjungan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 lebih interaktif, selain menggalakkan pengunjung meneroka lebih banyak reruai sepanjang acara berlangsung.

Institut Buku Darul Ehsan (IBDE) antara pempamer yang mengambil peluang memperkenalkan inisiatif berkenaan, selari dengan usaha menjadikan pengalaman memiliki buku lebih bermakna dan bersifat peribadi.

Pengunjung yang teruja menunjukkan koleksi cap eksklusif dari reruai di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Foto Hiasan Suntingan AI

Pengurus Kanan Jabatan Jualan, Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan IBDE, Ainunl Muaiyanah berkata aktiviti mengumpul cap atau stamp kini semakin popular dalam kalangan pengunjung pesta buku.

“Kali ini di pesta buku, kami menyediakan gerakan mengumpul cap atau stamp yang kini menjadi hobi baharu dalam kalangan pengunjung.

“Kami menawarkan peluang kepada pembeli dan pembaca IBDE untuk mengumpulkan cap dan stamp khas. Pengalaman memiliki buku tidak lagi bersifat statik atau hanya tersimpan di rak.

“Mereka boleh mengumpulkan cap, membuat jurnal dan merekodkan pengalaman sepanjang berada di pesta buku,” katanya ketika ditemui di PBAKL 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Sabtu lalu.

Pengunjung menunjukkan koleksi cap sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 30 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata pendekatan itu selari dengan perubahan trend pembacaan masa kini yang menyaksikan pembaca semakin menghargai elemen interaktif dan pengalaman peribadi.

“Buku bukan hanya untuk dibaca, tetapi boleh menjadi sebahagian daripada gaya hidup pembaca di Malaysia,” katanya.

Tinjauan di PBAKL 2026 mendapati beberapa penerbit turut menyediakan cap koleksi tersendiri di reruai masing-masing, sekali gus mendorong pengunjung menjelajah lebih banyak reruai bagi melengkapkan koleksi mereka.

Kehadiran komuniti pengumpul cap daripada pelbagai peringkat umur turut menunjukkan aktiviti itu semakin mendapat tempat dalam kalangan pengunjung pesta buku.

Lebih daripada sekadar koleksi kenangan, aktiviti berkenaan menjadikan budaya membaca dalam suasana yang lebih santai dan menyeronokkan.

PBAKL 2026 yang berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menghimpunkan 198 syarikat pempamer dengan 1,210 reruai.

Penganjuran kali ke-43 itu terus menjadi platform utama yang mempertemukan penerbit, penulis dan pembaca dari dalam serta luar negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.