Budaya membaca benteng generasi muda elak ketagihan media sosial

6 Jun 2026, 9:25 AM
Budaya membaca benteng generasi muda elak ketagihan media sosial
Budaya membaca benteng generasi muda elak ketagihan media sosial

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Budaya membaca perlu terus dipupuk sebagai benteng bagi melindungi generasi muda daripada ancaman kandungan digital tidak terkawal dan ketagihan media sosial, kata Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.

Beliau berkata generasi muda kini berdepan masalah tempoh tumpuan yang semakin singkat akibat kurang membaca dan terlalu banyak menghabiskan masa di media sosial, termasuk terjebak dengan amalan doomscrolling.

“Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, rakyat di sana secara purata hanya meluangkan tujuh minit untuk membaca berbanding tujuh jam di media sosial.

“Trend ini amat membimbangkan kerana boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental seseorang,” katanya pada sesi Hati & Minda: Edisi Pemimpin di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamed Fareed berkata langkah kerajaan mengehadkan penggunaan media sosial dalam kalangan individu berusia bawah 16 tahun adalah wajar susulan kesan negatif platform berkenaan terhadap perkembangan mental dan sosial generasi muda.

Katanya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk budaya membaca sejak kecil, termasuk meluangkan masa membaca bersama anak-anak serta menghadiahkan buku sebagai galakan terhadap pencapaian akademik mereka.

Beliau turut menyifatkan sambutan PBAKL tahun ini lebih meriah apabila ramai ibu bapa mengambil kesempatan sempena cuti sekolah dan cuti panjang hujung minggu untuk membawa anak-anak mengunjungi pesta buku berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.