Aerotrain KLIA kembali beroperasi 24 jam mulai 1 Jun

31 Mei 2026, 8:05 AM
Aerotrain KLIA kembali beroperasi 24 jam mulai 1 Jun
Aerotrain KLIA kembali beroperasi 24 jam mulai 1 Jun
Aerotrain KLIA kembali beroperasi 24 jam mulai 1 Jun

PUTRAJAYA, 31 MEI: Perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan kembali beroperasi 24 jam sehari bermula tengah malam 1 Jun susulan siapnya Pelan Tindakan Komprehensif (CAP), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pelan berkenaan yang dilaksanakan sejak November 2025 melibatkan koordinasi bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan telah disahkan oleh penilai kereta api bebas.

“CAP merangkumi tiga peringkat berstruktur, iaitu kerja pemeriksaan dan pembaikan, ujian serta pengesahan sistem dan operasi percubaan.

“Ujian ketahanan dijalankan selama tempoh 24 jam dan 48 jam dalam keadaan berpenumpang dan tanpa penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loke berkata Aerotrain merekodkan tahap Ketersediaan Perkhidmatan Operasi 100 peratus sejak Januari 2026.

Beliau berkata waktu untuk kerja kejuruteraan harian dari 12 tengah malam hingga 5 pagi akan terus dikekalkan, dengan sebuah tren kekal beroperasi untuk perkhidmatan penumpang sementara kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan rutin dijalankan.

“Kementerian Pengangkutan melalui APAD akan terus melaksanakan pengawasan kawal selia terhadap operasi Aerotrain, manakala Malaysia Airports kekal bertanggungjawab untuk mengekalkan standard perkhidmatan yang ditetapkan di bawah pelan ini,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.