SHAH ALAM, 13 OKT: Tahap ketersediaan operasi perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini mencapai tahap operasi penuh 100 peratus selepas kembali beroperasi pada 1 Julai lalu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, projek Aerotrain di Terminal 1 kini berada dalam Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) selama dua tahun, manakala sistem mekanikal dan semboyan masih dalam fasa penyesuaian bagi mencapai kestabilan sepenuhnya.
“Sejak operasi bermula hingga 8 Oktober lalu, tahap ketersediaan perkhidmatan Aerotrain berada pada 99.19 peratus. Malah dalam dua minggu terkini, iaitu 28 September hingga 3 Oktober dan 5 hingga 10 Oktober, ketersediaan operasi mencapai 100 peratus,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin, berhubung punca gangguan perkhidmatan Aerotrain dan langkah kerajaan memastikan pengangkutan di KLIA kembali lancar serta selamat.
Hasbi memaklumkan, antara 2 Julai hingga 30 September lalu, sistem Aerotrain mengalami 19 gangguan disebabkan isu teknikal dan kesilapan manusia, termasuk penumpang yang cuba membuka pintu tren.
“Penambahbaikan sentiasa dibuat, dan pegawai teknikal turut ditempatkan dalam tren bagi memastikan sebarang masalah dapat dibaiki segera,” jelasnya.
Beliau menambah, kerajaan akan mengenakan mekanisme pampasan terhadap pengeluar sekiranya berlaku kegagalan sistem berulang, dengan penalti maksimum hingga RM190,000 sebulan jika piawaian ditetapkan tidak dipatuhi.