SHAH ALAM, 29 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat projek Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang kerap berdepan gangguan, jika wujud unsur rasuah dan penyelewengan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bagaimanapun mengesahkan, setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung projek itu yang menelan belanja ratusan juta ringgit, katanya dipetik Berita Harian.
"Setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan atau maklumat berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) Ke-2, di sini hari ini.
Ditanya sekiranya wujud kesalahan atau unsur rasuah dalam projek itu, Azam menegaskan, pihaknya perlu meneliti dahulu perkara itu.
"Ada atau tak ada (kesalahan) ia bergantung kepada apakah kesalahan itu. Jangan semua kesalahan perlu diletakkan di bahu SPRM. Jadi kesalahan-kesalahan itu mungkin membabitkan tatakelola.
"Jadi jika ada, di bawah bidang kuasa kami, 'jurisdiction' kami, sudah tentu kita akan siasat. Tetapi jika tiada, kita tidak boleh siasat," katanya.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) susulan gangguan terbaharu perkhidmatan Aerotrain di KLIA.
Sejak kembali beroperasi pada Julai 2025, perkhidmatan tersebut telah mengalami beberapa gangguan, termasuk kejadian melibatkan gangguan kuasa pada 15 Okt0ber lepas.
Awal bulan ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah memaklumkan di Dewan Rakyat sebanyak 19 insiden gangguan perkhidmatan direkodkan antara 2 Julai hingga 30 September lalu.





