Viva Poesie angkat nilai kemanusiaan dalam 47 puisi dwibahasa

31 Mei 2026, 1:30 AM
Viva Poesie angkat nilai kemanusiaan dalam 47 puisi dwibahasa
Viva Poesie angkat nilai kemanusiaan dalam 47 puisi dwibahasa
Viva Poesie angkat nilai kemanusiaan dalam 47 puisi dwibahasa
Viva Poesie angkat nilai kemanusiaan dalam 47 puisi dwibahasa
Viva Poesie angkat nilai kemanusiaan dalam 47 puisi dwibahasa

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Sasterawan Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai AGI meluncurkan karya terbaharunya, Viva Poesie sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL2026) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam tadi.

Pelancaran buku puisi itu berlangsung meriah di Pentas Utama WTC dengan diserikan persembahan dan deklamasi puisi oleh beberapa tokoh budaya tanah air termasuk Datuk Fauziah Nawi, Dr Norzizi Zulkifli dan Sani Sudin.

AGI ketika ditemui, menzahirkan rasa syukur apabila naskhah yang menghimpunkan 47 puisi konkrit dwibahasa Melayu-Inggeris itu dapat diterbitkan, dengan membawa tema nilai kemanusiaan.

“Mesej utama untuk kemanusiaan, kehidupan dan ketenteraman. Saya banyak guna perkataan yang saya terpaksa membuka kamus untuk tahu maknanya.

“Puisi ini tidak memberi jawapan, hanya persoalan. Kalau ada jawapan, ia akan menjadi guru. Pembaca bukannya bodoh. Lihat bagaimana mereka deklamator puisi,” katanya yang sudah menghasilkan kira-kira 300 puisi ketika ini.

Pelancaran naskhah yang memperlihatkan keberanian estetik, eksperimen bahasa, dan evolusi puisi Melayu kontemporari itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Editorial Media Selangor, Tan Sri Johan Jaaffar.

Sementara itu, Johan menyifatkan semua karya AGI sebagai sesuatu yang luar biasa dengan penyair eksperimental negara itu sentiasa meletakkan puisi pada tahap tertinggi.

“Beliau tidak sekadar menulis puisi tetapi yang lebih penting lagi memberikan nyawa kepada puisi tersebut. Beliau meletakkan satu standard baharu dari segi pembacaan puisi.

“AGI adalah orang yang berbeza dari segi pendekatan. Oleh kerana itu, saya sentiasa mengagumi AGI. Saya fikir buku ini satu lagi pencapaian beliau dalam bidang puisi dan saya harap ini bukan yang terakhir,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.