Malaysia kutuk keras rancangan Israel rampas 70 peratus wilayah Gaza

30 Mei 2026, 1:22 PM
Malaysia kutuk keras rancangan Israel rampas 70 peratus wilayah Gaza

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya rancangan yang baru diumumkan rejim Zionis Israel untuk merampas serta memperluaskan kawalannya ke atas 70 peratus wilayah Gaza.

Kementerian Luar, yang menyifatkan langkah itu sebagai menyalahi undang-undang dan sama sekali tidak boleh diterima, berkata ia merupakan satu lagi pelanggaran nyata oleh rejim tersebut terhadap undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB dan Perhimpunan Agung PBB.

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa dan PBB untuk menolak dan membantah rancangan itu, sambil memberi amaran bahawa sebarang cubaan untuk mengubah realiti wilayah Gaza hanya akan terus menjejaskan prospek keamanan dan keadilan,” menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Sabtu.

Kementerian itu, yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, berkata Gaza sejak sekian lama merupakan sebahagian daripada Wilayah Palestin, malah sebelum penubuhan Israel lagi, dan sebarang tindakan rejim itu untuk mengubah realiti wilayah Gaza hanya akan mengakibatkan ketidakadilan yang lebih ketara serta memburukkan lagi keadaan keselamatan dan keamanan yang sedia rapuh di rantau itu.

“Rakyat Gaza terus menderita akibat tindakan genosid dan kemusnahan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel. Sebarang bentuk pengilhakan wilayah Palestin adalah salah di sisi undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dibenarkan.

“Sebaliknya, ia dengan jelas mencerminkan niat terancang untuk menafikan hak-hak sah rakyat Palestin, termasuk hak mereka untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat di tanah air mereka sendiri yang merangkumi Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur,” menurut Wisma Putra.

Malaysia turut mengulangi solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin serta sokongan berterusan negara terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.