SHAH ALAM, 30 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengemukakan permohonan pengambilan tanah kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Selangor bagi pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Puncak Alam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata permohonan di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah itu dikemukakan pada 28 April lalu dan kini menunggu kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Jelas beliau, kawasan yang dikenal pasti terletak di Alam Suria, Puncak Alam melibatkan 11 lot yang kini menempatkan deretan lot kedai, lapor Sinar Harian.
“Kita akan membuat pengambilan tanah di situ dan selepas proses selesai, hak milik kawasan berkenaan akan menjadi milik KKM,” katanya selepas menghadiri Program Korban Perdana Parlimen Kuala Selangor di Dewan Komuniti Fasa 3, Bandar Puncak Alam, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata klinik kesihatan tahap tiga itu akan dibina bagi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah di Puncak Alam.
Beliau memaklumkan kerajaan telah meluluskan peruntukan awal RM5 juta bagi kerja awalan projek, manakala kos keseluruhan pembinaan dianggarkan melebihi RM50 juta.
“Bagi kerja awalan, kerajaan sudah meluluskan RM5 juta manakala kos keseluruhan projek dianggarkan sekitar RM50 juta atau lebih,” katanya.
Menurut beliau, pembinaan dijangka dapat dimulakan pada 2027 jika proses kelulusan dan pengambilan tanah berjalan lancar.
Tambahnya, KKM juga akan mengadakan pertemuan khas dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bagi mempercepatkan urusan berkaitan projek berkenaan.








