Pengendali jet ski ditemui lemas di Langkawi

29 Mei 2026, 2:30 PM
Pengendali jet ski ditemui lemas di Langkawi

ALOR SETAR, 29 MEI: Mayat lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai cuba menyelamatkan sebuah jet ski yang hanyut di tengah laut dalam kejadian di Jalan Pantai Tengah, Langkawi, semalam, ditemukan hari ini.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi Penguasa Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani berkata mayat Arash Nashran Abdul Maser, 23, yang juga pengendali jet ski itu dijumpai kira-kira pukul 6 petang oleh pasukan penyelamat yang membuat rondaan menggunakan jet ski di laut.

“Operasi pencarian mangsa semalam telah diteruskan hingga pukul 2.39 pagi (hari ini) di sepanjang pantai, namun terpaksa dihentikan berikutan ombak bergelora serta angin kencang.

“Pencarian kemudiannya disambung semula pada 6.50 pagi dan sebanyak tiga unit jet ski milik orang awam digunakan untuk mencari mangsa. Pada 6 petang tadi, mayat mangsa berjaya ditemukan dan telah dibawa ke jeti menaiki bot,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pada 6.48 petang, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika dipercayai cuba menyelamatkan jet ski yang hanyut di tengah laut sebelum ombak kuat menyebabkan mangsa tercampak ke dalam air dan difahamkan mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata mayat mangsa dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.