MARANG, 29 MEI: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 1,575 permohonan melibatkan pindaan nama panjang kepada nama yang lebih ringkas pada sijil kelahiran, sejak 2024 hingga hari ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Badrul Hisham Alias berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 719 permohonan untuk meringkaskan nama diterima pada 2024, diikuti 624 permohonan pada 2025 dan 232 permohonan direkodkan sejak Januari tahun ini hingga hari ini.
“Peranan dan fungsi JPN adalah sebagai pendaftar. Jadi, kami tidak menghalang sesiapa untuk mendaftarkan nama anak walau sepanjang mana sekali pun. Namun, sebagai pendaftar, kami boleh menasihatkan masyarakat supaya mempertimbangkan implikasinya pada masa hadapan, misalnya ketika mengisi borang atau menguruskan urusan rasmi seperti perkahwinan.
“Berdasarkan pengalaman kami, ramai ibu bapa yang memilih nama panjang akhirnya kembali untuk meminda dan meringkaskan nama anak mereka,” katanya kepada pemberita selepas Program Santuni MADANI di Masjid Kampung Padang Tanjung dekat Bukit Payong, di sini, hari ini.
Beliau berkata JPN sentiasa bersedia membantu mana-mana individu yang ingin meminda atau meringkaskan nama dan mereka boleh berbuat demikian dengan hadir ke mana-mana kaunter JPN.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata JPN kini berada pada peringkat akhir persediaan pelaksanaan pindaan Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.
Katanya, berdasarkan pindaan yang telah diluluskan di Parlimen itu, anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia akan memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan.
“Selama ini, anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia tetapi bapanya bukan warganegara perlu memohon kewarganegaraan. Sebaliknya, jika bapanya warganegara Malaysia, kewarganegaraan diberikan secara automatik.
“Keadaan ini menimbulkan isu ketidakseimbangan terhadap kaum ibu. Oleh itu, pindaan tersebut diusahakan dan telah mendapat sokongan majoriti di Parlimen. Kini, kami hanya menunggu tarikh penguatkuasaannya,” katanya.
Terdahulu, Badrul Hisham yang juga anak jati Kampung Padang Tanjung berkata sebanyak empat ekor lembu hasil sumbangan pelbagai pihak dikorbankan hari ini dan diagihkan kepada penduduk kampung, selain sebahagian daging korban turut dimasak secara gotong-royong oleh komuniti setempat untuk dinikmati bersama.
Beliau turut merasmikan dewan makan di Masjid Kampung Padang Tanjung yang dibina menerusi peruntukan Kampung Angkat MADANI JPN bagi tahun 2025, sebagai kemudahan serta pusat aktiviti dan program kemasyarakatan penduduk setempat.
-- BERNAMA








