Selangor sedia bantu PKS tempatan tingkat daya saing dalam ekonomi moden

29 Mei 2026, 4:00 AM
Selangor sedia bantu PKS tempatan tingkat daya saing dalam ekonomi moden
Selangor sedia bantu PKS tempatan tingkat daya saing dalam ekonomi moden
Selangor sedia bantu PKS tempatan tingkat daya saing dalam ekonomi moden
Selangor sedia bantu PKS tempatan tingkat daya saing dalam ekonomi moden

CYBERJAYA, 28 MEI: Selangor sedia membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan meningkatkan keupayaan serta daya saing perniagaan bagi memastikan mereka terus relevan dalam mendepani cabaran ekonomi moden.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri sentiasa membuka ruang kepada usahawan tempatan yang mempunyai kesungguhan untuk menambah baik kapasiti perniagaan dan menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran semasa.

Menurutnya, tanggapan bahawa pelaburan berkualiti tinggi akan meminggirkan perniagaan tempatan adalah tidak tepat kerana kebanyakan projek pelaburan berskala besar memerlukan rantaian sokongan daripada syarikat tempatan.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han ketika ditemu bual Media Selangor di Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM), Cyberjaya pada 19 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Pelaburan besar memerlukan sokongan pelbagai sektor termasuk perundangan, kewangan, logistik dan khidmat rundingan.

“Jadi yang penting ialah PKS tempatan perlu meningkatkan teknologi dan kemahiran supaya mampu memenuhi permintaan pasaran,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Media Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut komited membantu PKS meningkatkan nilai perniagaan termasuk membuka peluang kepada syarikat tempatan meneroka industri berteknologi tinggi.

Menurutnya, Selangor sebelum ini berjaya melahirkan ramai pengeluar komponen automotif untuk kenderaan dan motosikal, dengan kepakaran itu kini berpotensi dikembangkan ke sektor aeroangkasa.

“Peranan Kerajaan Negeri adalah menjadi jambatan menghubungkan industri sedia ada dengan pasaran bernilai tinggi.

“Usaha menaik taraf pengeluar alat ganti automotif tempatan kepada pengeluar komponen pesawat juga sudah mula menunjukkan hasil melalui latihan intensif dan penggunaan teknologi lebih tepat,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Sze Han mengakui terdapat segelintir perniagaan yang sukar dibantu terutama kilang tanpa izin kerana model operasi sedemikian tidak mampan untuk jangka panjang.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sebelum ini telah melaksanakan program pemutihan bagi membantu pengusaha kilang tanpa lesen mendapatkan permit sah sekali gus memberi peluang kepada mereka menembusi pasaran lebih luas.

Mengulas bentuk bantuan kepada PKS, beliau berpendapat subsidi kewangan atau pengecualian yuran semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin pertumbuhan perniagaan secara mampan.

Katanya, pengurangan yuran lesen sekali pun tidak memberi impak besar sekiranya syarikat gagal meningkatkan kapasiti serta menyesuaikan operasi dengan keperluan pasaran domestik dan global.

Tambah beliau, sokongan Kerajaan Negeri turut merangkumi usahawan mikro termasuk sektor katering dan perkhidmatan pembersihan supaya mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan industri baharu.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) berkenan menyempurnakan gimik pecah tanah bagi pembinaan Chery Auto Industrial Park ketika Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian di antara Lagenda Beringin Holding dengan Chery Internasional di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam hari ini. Turut hadir EXCO Pelaburan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han (empat, kiri). Foto BERNAMA

Beliau memberi contoh kehadiran syarikat automotif Chery di Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (Hitech Automotive Valley) di Lembah Beringin, Hulu Selangor yang turut membuka peluang kepada pengusaha makanan tempatan bekerjasama dengan syarikat tersebut.

“Kerajaan Negeri mengambil pendekatan menghubungkan pengusaha makanan tempatan dengan syarikat besar supaya limpahan ekonomi itu dapat dirasai terus oleh penduduk setempat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.