Pearly-Thinaah mara pusingan kedua di Singapura

27 Mei 2026, 1:49 PM
Pearly-Thinaah mara pusingan kedua di Singapura
Pearly-Thinaah mara pusingan kedua di Singapura

SINGAPURA, 27 MEI: Beregu wanita nombor satu Malaysia Pearly Tan-M Thinaah mara ke pusingan kedua Terbuka Singapura 2026 hari ini, sekali gus menandakan kehadiran mereka semula selepas pulih daripada kecederaan baru-baru ini.

Pasangan nombor dua dunia itu menewaskan gandingan Taiwan Hu Li Fang-Jheng Yu Chieh, 20-22, 21-16, 21-15 dalam perlawanan tiga set yang berlangsung selama 51 minit.

Walaupun meraih kemenangan, Pearly yang kini telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang berulang, mengakui beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi mereka khususnya dari aspek strategi dan koordinasi di gelanggang.

“Saya tidak begitu gembira secara keseluruhan dengan prestasi kami kerana masih banyak perkara yang boleh diperbaiki dan dilakukan dengan lebih baik daripada perlawanan ini, terutama dari segi strategi serta pergerakan dan rotasi di gelanggang.

“Tetapi sudah tentu saya berasa lega dan juga sangat gembira dapat kembali beraksi di gelanggang serta menamatkan perlawanan hari ini dengan selamat,” katanya ditemui di zon campuran Stadium Tertutup Singapura hari ini.

Sementara itu, juara bertahan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mara dengan bergaya ke pusingan pertama, selepas menewaskan adik-beradik dari Perancis Christo Popov-Toma Junior Popov, menerusi kemenangan straight set 21-17 dan 21-15.

Gandingan itu menyifatkan ketenangan serta corak permainan yang strategik di gelanggang sebagai faktor utama kemenangan mereka, meskipun berdepan tekanan berterusan daripada pihak lawan yang kerap melakukan pukulan jauh ke garisan belakang.

Turut melangkah ke pusingan kedua ialah pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang hanya memerlukan 40 minit untuk menewaskan rakan senegara Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, 21-16, 21-19.

Dalam kategori perseorangan, pemain utama wanita negara K Letshanaa gagal meneruskan kemaraan ke pusingan kedua, selepas tewas kepada pemain nombor empat dunia dari China dan juara Olimpik Tokyo Chen Yu Fei, 21-19, 15-21, 17-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 66 minit, meskipun berjaya memenangi set pertama.

Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki turut berakhir apabila pemain nombor 47 dunia, Justin Hoh, tersingkir selepas tewas kepada pemain nombor empat dunia dari Perancis Christo Popov, 21-13, 18-21, 14-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 62 minit.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.