AICHI, 28 SEPT: Kelajuan tempo permainan yang konsisten pada set penentuan menjadi pemisah buat beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Dalam aksi di Ichinomiya City Municipal Gymnasium itu, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking kelima dunia memberi tentangan sengit sebelum akur 21-16, 20-22, 12-21 dalam tempoh 85 minit kepada gandingan nombor satu dunia itu.
Pearly berkata mereka berjaya mengawal permainan pada set pertama dan kedua, namun Sheng Shu-Ning terus mengekalkan kelajuan serta fokus yang sama pada set penentuan sehingga memberikan tekanan kepada gandingan negara.
“Pada set pertama dan kedua, kami masih mampu mengawal permainan, tetapi pada set ketiga, mereka masih mampu mengekalkan kelajuan permainan dan fokus yang sama, dan saya fikir itu memberikan banyak tekanan kepada kami,” katanya ketika ditemui.
Pearly mengakui mereka juga tidak cukup tenang ketika mata-mata penting, berbanding pasangan China yang lebih matang dalam mengendalikan situasi kritikal.
Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah gagal melangkah ke final, namun tetap menamatkan kempen dengan pingat gangsa, sekali gus menyamai pencapaian terbaik Malaysia dalam acara beregu wanita sejak badminton diperkenalkan di Sukan Asia pada 1962.
Pingat gangsa diraih menerusi Tan Gaik Bee-Ng Mei Ling di Jakarta 1962, Rosalind Singha Ang-Teoh Siew Yong di Bangkok 1970 dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei di Incheon 2014.
Thinaah berkata mereka mengambil sisi positif daripada kekalahan itu dan akan meneliti semula perlawanan berkenaan bagi mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.
Beliau berkata selepas Sukan Asia, mereka akan pulang ke Malaysia kira-kira seminggu untuk menjalani proses pemulihan sebelum meneruskan saingan dalam jelajah Eropah di Denmark dan Perancis.








