Prestasi menurun, Rosman yakin Pearly-Thinaah akan kembali temui rentak

11 Sep 2026, 6:43 AM
Prestasi menurun, Rosman yakin Pearly-Thinaah akan kembali temui rentak

SHAH ALAM, 11 SEPT: Prestasi gandingan beregu wanita nombor satu dunia, Pearly Tan-M Thinaah, sedikit menurun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, namun keadaan itu belum sampai ke tahap mencetuskan kebimbangan, kata jurulatih negara, Rosman Razak.

Menurut Rosman, gandingan itu masih berada di landasan yang betul dan kini memberi tumpuan untuk mengembalikan keyakinan, terutama selepas Pearly kembali daripada kecederaan, lapor Berita Harian.

"Memang beberapa bulan ini prestasi mereka agak menurun dan dari segi keyakinan diri juga sedikit terjejas. Tetapi mereka cuba mencari kembali rentak permainan dan kami teruskan latihan untuk mengembalikan tahap keyakinan mereka," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Rosman berkata, perkara paling penting ketika ini adalah memastikan Pearly-Thinaah tidak berdepan kecederaan serius selain memberi ruang kepada mereka untuk mendapatkan semula prestasi terbaik secara berperingkat.

Menurutnya, antara faktor yang menghalang Pearly untuk kembali kepada prestasi sebelum ini adalah keinginan terlalu tinggi untuk beraksi pada tahap terbaik sebaik sahaja pulih daripada kecederaan.

"Kadang-kadang keinginan itu melebihi kemampuan ketika ini dan apabila berlaku pada mata-mata penting, dia terlalu mahu menang sehingga melakukan kesilapan," katanya.

Rosman bagaimanapun memahami kesilapan yang dilakukan Pearly bukan disengajakan, malah pemain itu sendiri menyedari perkara berkenaan perlu diperbaiki.

"Dari segi motivasi dan hubungan gandingan, saya rasa mereka masih berada di landasan yang betul dan mereka tidak berputus asa," katanya.

Mengulas tekanan susulan harapan tinggi terhadap gandingan itu, Rosman mengakui perasaan panik adalah sesuatu yang normal, namun ia tidak seharusnya mengubah sasaran pasukan terhadap Pearly-Thinaah.

"Kami perlu terima perkara itu dan kami juga tidak mahu lari daripada tanggapan bahawa mereka adalah antara pasangan terbaik," katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.