Kanak-kanak teruja saksikan korban, Aidiladha didik nilai pengorbanan  

28 Mei 2026, 3:00 AM
Kanak-kanak teruja saksikan korban, Aidiladha didik nilai pengorbanan   
Kanak-kanak teruja saksikan korban, Aidiladha didik nilai pengorbanan   
Kanak-kanak teruja saksikan korban, Aidiladha didik nilai pengorbanan   

KUALA LANGAT, 28 MEI: "Bila besar nanti saya nak buat korban juga."

Kata-kata spontan kanak-kanak di Surau Haji Hassan Sijangkang itu menggambarkan bagaimana pengalaman menyambut Aidiladha sejak kecil mampu membentuk kefahaman tentang erti pengorbanan, keikhlasan dan semangat berkongsi rezeki sesama insan.

Di sebalik kesibukan urusan penyembelihan dan agihan daging korban, sekumpulan kanak-kanak tekun memerhati setiap proses berlangsung sambil mendengar penjelasan mengenai tujuan ibadah itu dilaksanakan.

Walaupun masih muda, mereka tidak kekok menyaksikan sendiri proses penyembelihan lembu, malah memahami daging korban akan diagihkan kepada fakir miskin serta golongan memerlukan.

Bagi Jaffan Mohd Jamik, 11, pengalaman menyaksikan ibadah korban setiap kali Aidiladha sejak kecil membuatkan dia memasang hasrat untuk turut melaksanakan korban apabila dewasa nanti.

“Nanti kalau saya dah besar dan sudah bekerja, insya-Allah saya akan menyertai ibadah korban macam ayah saya,” katanya kepada Media Selangor.

Tidak berasa takut melihat proses penyembelihan, Jaffan bersyukur kerana berpeluang bersama-sama mengikuti ibadah korban di surau berkenaan.

"Korban menyembelih lembu pada raya haji. Daging untuk diagihkan kepada warga kampung dan orang miskin," katanya lagi.

Muhammad Mikail Amirudin, 12 berharap dapat menyertai ibadah korban pada masa depan apabila dewasa kelak. Foto HANAFI /MEDIA SELANGOR

Semalam ratusan penduduk setempat bergotong-royong ketika program Ibadah Korban Kariah kampung di Surau Haji Hassan Kampung Sijangkang, Kuala Langat. 

Lebih 30 kanak-kanak pelbagai peringkat umur memenuhi perkarangan masjid bagi menyaksikan proses penyembelihan 15 ekor lembu yang berlangsung seawal jam 9 pagi.

Dalam pada itu, Muhammad Mikail Amirudin, 12, turut berkongsi pengalaman tidak berasa takut melihat proses penyembelihan.   

"Saya tengok lembu itu memang sunnah. Tak takut pun tengok sembelihan tadi.

"Daging korban itu nanti diberi kepada orang miskin, orang susah dan mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemui di surau berkenaan semalam.

Mikail turut berharap dapat menyertai ibadah korban pada masa depan apabila dewasa kelak.

"Insya-Allah bila besar nanti saya nak terlibat juga," katanya.

Penduduk setempat bergotong-royong ketika program Ibadah Korban Kariah kampung di Surau Haji Hassan Kampung Sijangkang, Kuala Langat. Foto DEWI ABDUL RAHMAN /MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Hannah Humaira Mohd Shafiq, 11, berkata dia bersyukur kerana keluarganya dapat menyertai ibadah korban tahun ini.

Katanya, pengalaman proses korban di masjid memberi pemahaman lebih jelas mengenai amalan golongan berkemampuan yang berkongsi rezeki dengan masyarakat memerlukan.

"Orang yang berkemampuan akan menyertai ibadah korban dan daging itu diagihkan kepada orang yang lebih memerlukan.

"Saya rasa bersyukur kerana tahun ini keluarga dapat menyertai ibadah korban," katanya.

Sambutan Aidiladha terus menjadi simbol kebersamaan masyarakat apabila umat Islam berganding bahu menjayakan ibadah korban di masjid dan surau setiap tahun.

Selain mengeratkan hubungan komuniti, pengalaman menyaksikan sendiri ibadah itu sejak kecil turut membantu menyemai nilai pengorbanan, keikhlasan dan semangat berkongsi rezeki dalam kalangan generasi muda.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.