Pakar cadang tubuh bank tanah untuk pembangunan awam

10 Jun 2026, 1:00 AM
Pakar cadang tubuh bank tanah untuk pembangunan awam

SHAH ALAM, 10 JUN: Cadangan penubuhan bank tanah bagi pembangunan kemudahan awam antara langkah strategik untuk menjamin ketersediaan tapak, sekali gus memenuhi keperluan pada masa depan.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain berkata ia perancangan pembangunan setempat dengan lebih sistematik, mengelakkan pembelian tanah pada kos tinggi dan memastikan rakyat mendapat manfaat berterusan.

“Kerajaan boleh mewujudkan wakaf tanah dan pertukaran tanah (land swap) secara sukarela berdasarkan nilai semasa yang fleksibel) dan wakaf tunai untuk mendapatkan lokasi tanah yang sesuai.

Pakar Perlembagaan Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain

“Di samping itu, polisi baru bagi pembangunan projek perumahan baharu boleh dilihat sama. Saya percaya, mungkin terdapat tanah yang statusnya kembali kepada baitulmal, pemegang amanah raya dan tuan punya tidak lagi meninggalkan waris.

“Carian perlu dibuat untuk mengemukakan pelbagai kaedah penyelesaian demi maslahat rakyat. Malah mungkin ada tanah wakaf yang boleh disewakan untuk fasiliti awam,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mengulas cadangan pembinaan Hospital Petaling Jaya yang sebelum ini berdepan cabaran berikutan kekangan lokasi dan tapak strategik dalam daerah berkepadatan tinggi itu.

Dr Wan Ahmad Fauzi menjelaskan penyediaan dan pembiayaan kemudahan awam tanggungjawab penuh kerajaan Persekutuan manakala Kerajaan Negeri perlu menyediakan tanah dan ‘facility community’.

Katanya, tiada pertindihan kuasa berlaku, sebaliknya agihan tanggungjawab dan bidang kuasa diwujudkan bagi membentuk sebuah kerajaan pusat yang kuat demi memelihara kepentingan negeri.

“Tanah adalah hak negeri dan pengurusannya juga bawah bidang kuasa negeri, maka pastinya keperluan penyelarasan bagi tindakan perancangan, pelaksanaan dan kesempurnaan projek awam wujud dalam semangat federalisme.

“Penyelarasan tersebut perlu berlaku antara Persekutuan dan negeri kerana masing-masing mempunyai bidang kuasa masing-masing sesuai dengan karekter federalisme,” katanya.

Cadangan pembinaan Hospital Petaling Jaya sebelum ini menimbulkan polemik di media sosial ekoran ketiadaan hospital awam di kawasan berkepadatan tinggi itu.

Pada 27 Mei, Kementerian Kesihatan mengumumkan tapak kompleks sukan, X Park PJ South di Taman Medan yang berkeluasan enam hektar sebagai lokasi cadangan pembinaan hospital berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan pembinaan hospital yang akan dibina berkonsep vertikal dan mampu menampung kapasiti 500 katil.

Untuk rekod, konsep vertikal sama dilaksanakan di Hospital Ampang tanpa perlu bergantung kepada tanah yang terlalu luas sekali gus mengoptimumkan kos operasi Kementerian Kesihatan.

Kronologi Hospital PJ. GRAFIK AZWA MALEK

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.