SHAH ALAM, 26 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil langkah mitigasi bagi menyelesaikan isu banjir kilat dan limpahan air berulang di kawasan Tol Bukit Jelutong serta terowong Jalan Pegaga U12/9.
Majlis Bandaraya Shah Alam memaklumkan bagi isu banjir di kawasan tol itu, antara langkah penyelesaian segera yang telah dan akan dilaksanakan termasuk kerja penyelenggaraan serta pembersihan parit sempadan antara MBSA dan kawasan Tol Bukit Jelutong.
“PLUS Malaysia Berhad turut akan memasang pam air, manakala sistem saliran parit monsun milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan dibersihkan bagi membantu mempercepatkan pengaliran keluar air ketika hujan lebat,” katanya menerusi kenyataan.
Bagi kawasan Jalan Pegaga U12/9, MBSA memaklumkan PLUS telah menaikkan paras dinding inlet longkang bagi mengurangkan limpahan air selain menjalankan kerja penyelenggaraan di kawasan Right of Way (ROW).
“Cadangan penyelesaian jangka panjang turut diperincikan melibatkan kerja menaik taraf infrastruktur sistem saliran di lokasi berkenaan bagi mengurangkan risiko limpahan air pada masa hadapan,” katanya.
Semalam, MBSA telah mengadakan lawatan tapak bagi meneliti dan menyelaras tindakan penyelesaian terhadap isu limpahan air di kawasan Tol Bukit Jelutong serta Terowong Jalan Pegaga U12/9, Shah Alam. Lawatan itu diketuai Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Safriah Md Adzhar.








