AGENDA

Ahli majlis main badminton ketika PKP berdepan tindakan - MB

8 Apr 2020, 8:48 AM
Ahli majlis main badminton ketika PKP berdepan tindakan - MB

SHAH ALAM, 8 APRIL: Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain badminton bersama tiga individu lain baru-baru ini bakal dikenakan tindakan disiplin, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes terbabit sebelum tindakan disiplin dikenakan terhadap mereka.

“MBSA sudah keluarkan kenyataan dan mereka menyerahkan kes ini kepada polis malah saya juga sedang minta untuk (ahli majlis) berkenaan dikenakan tindakan disiplin.

“Kita tunggu sehingga polis selesai (membuat siasatan) baru kita akan ambil tindakan,” katanya selepas melepaskan konvoi Khidmat Bantuan Belia Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini hari ini.

Pada 3 April lalu, empat individu termasuk seorang ahli majlis MBSA ditahan kerana melanggar PKP dengan bermain badminton di sebuah dewan orang ramai di Seksyen 25.

Jurucakap khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata mereka ditahan di lokasi kejadian dan menunggu untuk didakwa mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020).

Sementara itu, MBSA dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menyerahkan kepada Kerajaan Negeri berhubung kedudukan ahli majlis berkenaan.

PBT itu tidak berkompromi dengan  individu, organisasi atau kumpulan termasuk penjawat awam yang melakukan kesalahan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.