KEADILAN lancar TERAS, sistem pintar urus data, operasi jentera parti

2 Mei 2026, 7:44 AM
KEADILAN lancar TERAS, sistem pintar urus data, operasi jentera parti
KEADILAN lancar TERAS, sistem pintar urus data, operasi jentera parti

PETALING JAYA, 2 MEI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) melancarkan Sistem Pengurusan Pilihan Raya TERAS bagi memperkemas urusan pilihan raya termasuk pengurusan data, operasi lapangan dan tindakan strategik secara masa nyata.

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata TERAS diwujudkan sebagai platform sokongan baharu bagi mengurangkan beban kerja jentera parti, selain memastikan aliran maklumat lebih pantas, tersusun dan tepat.

Menurut beliau, sistem pintar itu turut dilengkapi fungsi “Fast Check Assistant” yang membantu menyemak kesahihan maklumat dengan lebih cepat, sekali gus mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat sepanjang tempoh pilihan raya.

“TERAS adalah sistem sokongan yang dibangunkan untuk memperkukuh pengurusan pilihan raya. Ia bukan sahaja mempercepatkan aliran data, tetapi turut membantu automasi kerja operasi serta membolehkan tindakan strategik dibuat secara masa nyata.

“Keputusan yang diambil juga lebih berasaskan data, sekali gus menjadikan gerak kerja lebih cekap dan tersusun,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran sistem itu di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, hari ini.

Nurul Izzah berkata TERAS menghubungkan empat aplikasi utama yang berkongsi sistem sama bagi memastikan setiap peringkat operasi berjalan lancar.

Katanya, aplikasi Nexus berfungsi sebagai pusat arahan yang mengurus data pengundi, membahagikan tugasan kepada jentera dan sukarelawan serta mengesan isu semasa di lapangan.

“Pulse pula menjadi senjata turun padang untuk sukarelawan yang menjalankan lawatan rumah ke rumah. Ia memudahkan mereka mengenal pasti senarai rumah yang perlu dilawati dan maklumat yang perlu dikemas kini.

“Connect pula bertindak sebagai pusat panggilan pintar menerusi sistem phone banking yang membolehkan ringkasan perbualan, analisis sentimen dan data dikumpulkan secara sistematik,” katanya.

Beliau berkata, aplikasi Foresight pula memberi ruang kepada pimpinan untuk menganalisis data serta menguji pelbagai senario kempen bagi merancang strategi pilihan raya yang lebih berkesan.

Menurutnya, penggunaan teknologi seperti TERAS menjadi keperluan penting dalam landskap politik semasa yang memerlukan keputusan pantas, tepat dan berpandukan data sebenar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.