SHAH ALAM, 26 MEI: Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) telah menjimatkan RM4.22 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 2.14 juta liter setakat 25 Mei.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelaksanaan inisiatif yang dilaksanakan sejak 15 April lalu sekali gus membantu kerajaan menangani bebanan kewangan susulan krisis bekalan global, lapor Berita Harian.
"Perlu diingatkan sekali lagi, BDR ini bukan bermaksud 'Baring Duduk Rehat'. Ia bertujuan bagi mengawal penggunaan petrol, maka kerajaan luluskan BDR bermula 15 April lalu.
"Walaupun tekanan subsidi (meningkat) mendadak, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas," katanya ketika menyampaikan amanat dan merasmikan Majlis Apresiasi "Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness" (ERAT) di Putrajaya malam tadi.
Shamsul Azri berkata, bagi memastikan BDR dilaksanakan dengan berkesan serta tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, setiap ketua jabatan perlu berpegang kepada konsep T.E.G.A.S iaitu tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif dan strategi efektif.
"Saya ingin ingatkan agar konsep TEGAS ini diamalkan oleh setiap ketua jabatan dalam kita berhadapan dengan krisis ketika ini," katanya.
Selain itu, beliau turut mengajak seluruh penjawat awam untuk mengimbas kembali nilai M.A.L.A.Y.S.I.A, iaitu mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, islah dan arif, semasa memberikan perkhidmatan tanpa mengira status individu berkenaan dalam masyarakat.
"Jangan bezakan layanan dengan melihat kepada jawatan. Kalau Datuk-Datuk datang, kita senyum berseri, tapi kalau tukang cuci datang berurusan, adakah kita layan sama dengan kita layan Datuk-Datuk?" katanya.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar, berkata tugas sebagai ketua jabatan bukanlah satu amanah yang mudah kerana mereka memikul beban tanggungjawab yang besar.
"Sebarang kesalahan yang dibiarkan tanpa tindakan bukan sahaja menjejaskan jabatan, malah turut mencalar kredibiliti agensi penguatkuasaan secara keseluruhan," katanya.







