Krisis tenaga global: Swasta sambut baik dasar BDR, laksana ikut kesesuaian

8 Apr 2026, 4:00 AM
Krisis tenaga global: Swasta sambut baik dasar BDR, laksana ikut kesesuaian
Krisis tenaga global: Swasta sambut baik dasar BDR, laksana ikut kesesuaian
Krisis tenaga global: Swasta sambut baik dasar BDR, laksana ikut kesesuaian

PETALING JAYA, 8 APRIL: Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April ini bagi menangani krisis tenaga global menerima reaksi positif dalam kalangan pekerja sektor swasta, meskipun pelaksanaannya bergantung kepada kesesuaian industri.

Langkah itu dilihat mampu mengurangkan penggunaan bahan api serta membantu pekerja menyesuaikan diri dengan peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga minyak global.

Ketua Pegawai Operasi TA Global Berhad, Lee Yen Foong berkata inisiatif berkenaan memberi fleksibiliti kepada pekerja, namun pelaksanaannya tidak sesuai untuk semua sektor, khususnya industri pembangunan yang memerlukan kehadiran fizikal.

Ketua Pegawai Operasi TA Global Berhad, Lee Yen Foong dalam tinjauan orang ramai berkenaan berkerja dari rumah di Damansara Avenue pada 7 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Inisiatif ini sangat bagus, ia terutamanya ketika harga minyak yang semakin meningkat. Tetapi pelaksanaan ini bergantung kepada industri tersebut.

“Setakat ini syarikat saya belum ada rancangan lagi untuk laksanakan BDR, kerana kita dalam industri pembangunan. Kalau laksanakan pun mungkin hanya di bahagian sokongan,” katanya kepada Media Selangor.

Bagi jurutera, Saiful Tajudin, dasar BDR bukan perkara baharu kerana telah dilaksanakan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja menjimatkan kos perjalanan, malah memberi manfaat kepada alam sekitar dalam jangka panjang.

Jurutera, Saiful Tajudin dalam tinjauan orang ramai berkenaan berkerja dari rumah di Damansara Avenue pada 7 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Pada saya, dasar BDR adalah alternatif yang bagus. Kita boleh bantu jaga alam sekitar dan sesuai dengan situasi ekonomi semasa sekarang.

“Syarikat kami memang sudah ada BDR sejak PKP dulu dan BDR bukan perkara baharu dalam syarikat saya,” katanya.

Sementara itu, arkitek Syazawani Nadirah Selamat berpandangan BDR mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri serta tidak praktikal bagi kerjaya yang memerlukan interaksi fizikal di lapangan.

Arkitek, Nadirah Selamat dalam tinjauan orang ramai berkenaan berkerja dari rumah di Damansara Avenue pada 7 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“BDR ini ada kelebihan dan kekurangan. Macam saya, BDR adalah tidak efisyen kerana saya perlu bertemu konsultan dan kontraktor. Ia akan membataskan pergerakan saya.

“Tetapi BDR ini juga boleh bantu kurangkan penggunaan minyak. Jadi, saya berpendapat, ia baik kepada bidang tertentu, khususnya mereka yang bekerja di pejabat,” katanya.

Pada 1 April lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan dasar BDR bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.

Selain itu, kerajaan turut menyelaraskan kuota subsidi BUDI MADANI 95 kepada 200 liter sebulan bermula 1 April, di samping menguatkuasakan had pengisian harian diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi memastikan pengurusan sumber tenaga lebih efisien.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.