SHAH ALAM, 2 MEI: Pelaksanaan semula bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April lalu susulan konflik di Asia Barat kembali mengangkat amalan ini sebagai sebahagian daripada norma kerja moden.
Namun di sebalik pelaksanaannya, isu sebenar bukan terletak pada sikap pekerja, sebaliknya sistem kerja organisasi yang masih berteraskan pendekatan lama.
Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Muhamad Khalil Omar berkata, cabaran utama BDR bukan pada pelaksanaannya, tetapi kegagalan organisasi menyesuaikan sistem kerja dengan keperluan semasa.
Menurutnya, banyak organisasi masih belum melakukan transformasi menyeluruh, khususnya dalam pengurusan sumber manusia, penggunaan teknologi dan sistem penilaian prestasi berasaskan data.
“Sistem kerja kita masih belum bersedia dan masih menggunakan cara lama, sedangkan dunia kerja kini perlu berubah ke arah lebih fleksibel, digital dan strategik agar organisasi tidak ketinggalan,” katanya dalam program Bicara Semasa bertajuk BDR: Masih Tak Percaya Pekerja? terbitan Media Selangor.

Majikan masih nilai kehadiran, bukan hasil kerja
Isu produktiviti sering dipersoalkan apabila BDR dilaksanakan, khususnya dalam kalangan majikan yang masih ragu terhadap keberkesanannya.
Namun menurut Dr Muhamad Khalil, persepsi tersebut berpunca daripada kelemahan sistem pengurusan, bukannya sikap pekerja semata-mata.
“Majikan masih cenderung menilai berdasarkan kehadiran fizikal, sedangkan dalam konteks BDR, yang lebih penting adalah ‘output’ kerja.
“Kalau deskripsi kerja tidak jelas, sistem pemantauan tidak wujud dan komunikasi tidak berlaku secara dua hala, memang sukar untuk majikan percaya kepada pekerja,” jelasnya.
Beliau berkata, penggunaan sistem digital yang mampu menjejak prestasi secara automatik boleh menjadi penyelesaian penting dalam membina kepercayaan.
“Sistem yang berasaskan data boleh mengurangkan persepsi negatif dan pada masa sama membantu membina kepercayaan antara majikan dan pekerja,” ujarnya.

Sistem lemah punca risiko ‘burnout'
Dalam masa sama, kegagalan menetapkan sistem kerja yang jelas turut memberi kesan kepada kebajikan pekerja apabila sempadan antara waktu kerja dan kehidupan peribadi semakin kabur.
Dr Muhamad Khalil berkata, terdapat majikan yang mengharapkan pekerja sentiasa ‘on standby’ walaupun di luar waktu kerja, satu pendekatan yang tidak tepat.
“Kalau di pejabat kita hadkan kerja kepada lapan jam, kenapa di rumah perlu 24 jam? Ini satu pendekatan yang salah,” tegasnya.
Katanya, situasi tersebut boleh menyebabkan tekanan, keletihan melampau (burnout) dan seterusnya menjejaskan kesihatan mental pekerja.
“Tanpa keseimbangan antara kerja dan kehidupan, prestasi bukan sahaja merosot, malah memberi kesan kepada kesejahteraan individu,” katanya.
Tambah beliau, keadaan ini juga boleh menjejaskan motivasi pekerja dalam jangka panjang sekiranya tidak ditangani dengan polisi dan sokongan yang jelas daripada majikan.

BDR berkesan jika sistem dan kepercayaan seimbang
Dalam pada itu, beliau menegaskan BDR hanya boleh dilaksanakan dengan berkesan sekiranya wujud keseimbangan antara sistem kerja yang jelas dan kepercayaan antara majikan serta pekerja.
Antara amalan yang boleh membantu pekerja kekal produktif termasuk menetapkan disiplin kerja, berkomunikasi secara terbuka serta menghormati waktu rehat.
Menurutnya, kedua-dua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan BDR bukan sekadar alternatif sementara, tetapi model kerja yang mampan.
“Kalau pekerja dan majikan sama-sama komited, BDR bukan sahaja boleh dilaksanakan dengan baik, malah mampu meningkatkan produktiviti secara keseluruhan,” katanya.








