SHAH ALAM, 25 MEI: Umat Islam di Selangor diseru terus memperkukuhkan perpaduan dan mengelakkan sebarang bentuk perpecahan yang boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan ummah.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkata semangat perpaduan berteraskan akidah dan persaudaraan Islam perlu terus dipelihara dalam kehidupan seharian tanpa mengira pangkat, keturunan atau kedudukan.
“Justeru, saya menyeru umat Islam sentiasa menunjukkan sikap dan adab terbaik dengan mengambil ibrah daripada ibadah haji dan korban.
“Mengukuhkan perpaduan ummah berteraskan akidah dan persaudaraan Islam tanpa mengira pangkat, keturunan dan kedudukan,” kata Dato’ Salehuddin Saidin dalam perutusan Aidiladha.
Menurut beliau, Aidiladha bukan sekadar sambutan perayaan, sebaliknya membawa penghayatan mendalam terhadap nilai pengorbanan, ketaatan dan keikhlasan seperti ditunjukkan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam melaksanakan perintah Allah SWT.
“Kisah agung ini mengajar kita bahawa keimanan yang sebenar menuntut kesediaan untuk berkorban demi mencapai keredaan Allah SWT,” katanya.

Dalam masa sama, Salehuddin berkata MAIS kekal komited memperkasa syiar Islam, memperkukuh institusi agama serta memastikan kebajikan masyarakat Islam terus dipelihara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas, sukarelawan, agensi kerajaan, institusi masjid dan surau serta semua pihak yang terlibat menjayakan urusan ibadah korban dan program kemasyarakatan sepanjang musim Aidiladha.
“Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah, pengorbanan dan doa kita, serta mengurniakan keberkatan, keamanan dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada Selangor seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya sentiasa menghormati sensitiviti antara satu sama lain demi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah semangat Aidiladha mengajar umat Islam mengenai erti pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah yang perlu dijadikan panduan dalam kehidupan bermasyarakat.
Baginda turut menzahirkan harapan agar umat Melayu dan Islam di negara ini terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan bangsa.











