SHAH ALAM, 25 MEI: Perkhidmatan dalam talian bagi urusan pertukaran hak milik kenderaan dikembalikan serta-merta selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju meneruskan semula operasi sistem berkenaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli susulan laporan media mengenai penangguhan sementara perkhidmatan tersebut.
Menurut beliau, JPJ sebelum ini memaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung penyalahgunaan dan penipuan yang berlaku dalam sistem tersebut sehingga menyebabkan liabiliti perlu ditanggung jabatan berkenaan.
“Justeru, JPJ perlu membuat penambahbaikan sistem dalam talian pada kadar yang segera.
“Namun, saya telah menasihati JPJ supaya memastikan kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak mengganggu urusan harian pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan besar di pejabat-pejabat JPJ
"Mereka (JPJ) bersetuju untuk mengembalikan perkhidmatan dalam talian untuk urusan tersebut serta merta,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, sebarang penangguhan sistem bagi tujuan kerja penambahbaikan hanya akan dilaksanakan semasa cuti panjang pada hujung minggu ini.
Terdahulu, media melaporkan JPJ mengumumkan penangguhan sementara semua urus niaga pertukaran hak milik kenderaan secara dalam talian berkuat kuasa hari ini.
Penangguhan itu membabitkan semua saluran digital, termasuk portal awam, kiosk serta platform rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd.
JPJ dilaporkan mengambil tindakan kawalan serta-merta itu susulan beberapa aduan rasmi dan laporan di media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilakukan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
Langkah berkenaan bertujuan membolehkan semakan serta penambahbaikan dibuat terhadap sistem sedia ada bagi memastikan keselamatan dan integriti proses pertukaran hak milik kenderaan terus terpelihara.







