Warga emas cedera diserang buaya ketika menjala udang

25 Mei 2026, 4:45 AM
Warga emas cedera diserang buaya ketika menjala udang

SHAH ALAM, 25 MEI: Hobi menjala udang bertukar tragedi apabila lelaki warga emas parah selepas diserang buaya di Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas, Port Dickson pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa Jaafa Hasan, 62, mengalami kecederaan serius pada kedua-dua kaki hingga ke paras paha akibat digigit reptilia berkenaan.

Anak mangsa, Nursyuhadah Jamaludin berkata bapanya keluar menjala seperti biasa sebelum kejadian berlaku di tebing sungai terbabit.

“Memang rutin dia menjala. Itu hobi dia bila tiada kerja di rumah. Kadang-kadang dia menjala udang, kadang-kadang berkebun,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurutnya, mangsa dipercayai tidak menyedari kehadiran buaya ketika sedang menebar jala di kawasan tebing sungai.

“Dia tebar jala dekat tebing air. Mungkin dia tak perasan buaya itu ada. Buaya itu terus menyerangnya,” katanya.

Nursyuhadah berkata, bapanya bergelut dengan haiwan berkenaan sebelum berjaya menyelamatkan diri.

Beliau berkata, mangsa kemudian pulang sendiri dengan menunggang motosikal sejauh kira-kira 500 meter ke rumah abang saudaranya sebelum ambulans dihubungi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, Jaafa kini menerima rawatan di Hospital Port Dickson dan berada dalam keadaan stabil namun masih dipantau.

Dalam pada itu, Nursyuhadah memaklumkan kejadian terbabit dipercayai serangan kedua di kawasan sama selepas seorang lelaki turut diserang buaya minggu lalu ketika menjala.

“Minggu lepas ada juga kejadian sama dekat kawasan itu. Mangsa cedera di tangan ketika menjala,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Agas, Hairi Dahlan berkata pihak kampung sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kawasan Sungai Linggi sememangnya diketahui mempunyai kehadiran buaya dan beberapa insiden sama pernah dilaporkan sebelum ini.

“Kami menasihatkan penduduk supaya tidak melakukan aktiviti di tebing sungai buat sementara waktu bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.