Ops Luxury: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, pakar motivasi ditahan JPJ

25 Mei 2026, 4:33 AM
Ops Luxury: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, pakar motivasi ditahan JPJ

SHAH ALAM, 25 MEI: Bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pakar motivasi keusahawanan bergelar Datuk antara individu ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Luxury selepas didapati melakukan kesalahan jalan raya.

Bekas pemain bola sepak yang pernah beberapa kali menjuarai Liga Super itu ditahan ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire kira-kira jam 4 pagi semalam di sekitar Bukit Bintang.

Sementara itu, pakar motivasi terbabit pula ditahan di sekitar Lembah Klang selepas memandu kereta Mercedes Benz Brabus AMG dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tiada perlindungan insurans.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, kenderaan milik bekas pemain bola sepak itu disita selepas didapati melakukan tiga kesalahan.

Menurutnya, kesalahan terbabit membabitkan tiada perlindungan insurans, LKM tamat tempoh dan lesen memandu yang juga sudah tamat tempoh.

“Semakan mendapati LKM itu tamat tempoh sejak 7 Disember tahun lalu di mana sudah masuk lima bulan ia masih belum diperbaharui dan sebab itu kenderaan itu disita,” katanya pada sidang media di Depoh Tunda JPJ Kuala Lumpur malam tadi, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, kenderaan milik pakar motivasi terbabit pula disita kerana LKM tamat tempoh selama sebulan selain tidak mempunyai perlindungan insurans.

“Kenderaan pakar motivasi itu pula disita kerana LKM juga sudah tamat tempoh selama sebulan dan tiada perlindungan insurans yang mana ia mendatangkan risiko bukan sahaja kepada pemandu tetapi pengguna jalan raya lain,” katanya.

Tambah Jazmanie, JPJ turut mendapati kenderaan berkenaan mempamerkan nombor pendaftaran lama walaupun pertukaran nombor sudah dilakukan, sekali gus menjadi satu kesalahan di bawah peraturan jalan raya.

“Selain itu, kita juga dapati semasa ditahan, kenderaannya itu mempamerkan nombor kenderaan lain kerana sebenarnya beliau sudah membuat pertukaran nombor pendaftaran kenderaan ini namun masih menggunakan nombor lama,” katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan paling lama dikesan dalam operasi berkenaan ialah LKM tamat tempoh sejak 1 Januari 2025 manakala kenderaan paling mahal yang gagal memperbaharui LKM ialah Porsche dengan jumlah bayaran mencecah RM16,000.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.