Misi GSF 2.0 berjaya beri tekanan besar kepada Israel

21 Mei 2026, 1:01 PM
Misi GSF 2.0 berjaya beri tekanan besar kepada Israel

SEPANG, 21 MEI: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 berjaya memberi tekanan yang besar ke atas Israel, selain membuka mata dunia terhadap kekejaman rejim itu ke atas aktivis kemanusiaan yang menyertai misi berkenaan.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata tekanan dunia itu turut menggoncang Israel sehingga timbul usaha membubarkan Knesset (Parlimen Israel) selepas tersebarnya video yang didakwa menunjukkan layanan kasar terhadap aktivis kemanusiaan GSF 2.0.

“Satu perkara yang sangat besar berlaku di peringkat kerajaan haram Israel, iaitu Knesset mereka digoncang untuk dibubarkan segera oleh kerana tekanan yang begitu kuat kerana satu video yang telah mereka keluarkan yang menunjukkan betapa barbaric (mereka),” katanya pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 di sini hari ini.

Sebelum ini tular video yang dimuat naik Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir di media sosial yang menunjukkan aktivis ditahan dengan tangan diikat dan dipaksa berlutut selepas ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.

Sani Araby berkata kemarahan terhadap Israel telah merebak sehingga rejim Zionis itu menerima nota diplomatik yang mengugut, bukan lagi mengecam tindakan kejam mereka terhadap aktivis.

“Kali ini tekanan itu datang dari negara mereka sendiri, dalaman mereka sendiri dan juga negara sekutu mereka.

“Kita patut untuk mendefinisikan bahawa misi ini sebenarnya telah pun berjaya dan misi ini menang untuk membuka mata dunia dan menang untuk menggoncang penjenayah ini.

“Saya kira lima waran tangkap atas nama penjenayah perang dunia kepada lima tokoh mereka termasuk Menteri Kewangan dan juga Menteri Dalam Negeri mereka begitu memberi kesan kepada rejim ini,” katanya.

Terdahulu, Sani Araby mengesahkan kesemua 428 aktivis kemanusiaan GSF 2.0, termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa kini dibebaskan dan dijangka pulang ke tanah air pada Ahad.

Beliau berkata hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Turkiye banyak membantu usaha membawa pulang delegasi Malaysia lebih awal.

“Hubungan akrab itu memainkan peranan antara pihak Malaysia dan juga Turkiye kerana kita (aktivis Malaysia) antara kumpulan yang dikeluarkan awal.

“Untuk naik kapal terbang itu, kita kumpulan yang diberikan keutamaan awal. Saya kira itu juga adalah satu bentuk penzahiran bahawa Malaysia istimewa di mata Turkiye,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.