Sestina: Dongeng Musim Tengkujuh

24 Mei 2026, 12:30 AM
Sestina: Dongeng Musim Tengkujuh

Oleh Jack Malik

Ilustrasi Muizzah

kutemui dalam diri sebuah dongeng

dicipta daripada berpuluh musim

berlalu. bahasanya dibasahi tengkujuh.

riwayat yang diingati semula turun

seperti bacaan tok minduk. ada lautan

makna tidak kufahami berlimpahan.

air mata bercucuran. apa yang terlimpah

mengeluarkan nama yang menjadi dongeng.

semangat diangkat. dengar. angin timur laut

menyanyikan senandung panjang musim

keberangkatan dan ketibaan. hujan turun

begitu lebat. apakah rahsia tengkujuh

ingin bongkarkan? apakah lagu tengkujuh

cukup lunak bagi kenangan melimpah?

suara siapakah itu? apa yang turun

pasti kembali menjulang. dongeng

manakah harus kubaca semula? musim

bilakah lagu pandan wangi dan lautan

cerita kembali berbunga di langit? di laut

manakah titih mula ribut-taufan? tengkujuh

hadir dengan membawa resah musim

ke muka hari yang asing. penawar limpah

dalam padah air seribu bunga. dongeng

dari padang luas saujana padang turun

di cabang empat bersimpang tiga. turun

angin segar di jalan sembilan. di laut

tujuh gelombang buih kudengar dongeng

sekepal tanah berbuah di bumi tengkujuh.

segala kenangan dan sesalan melimpah

menjadi puisi panjang tanpa musim.

tanpa tempoh tertentu. pada musim

bilakah patut pulang pulih sedia turun?

pucuk rebung pakat menadah limpah

kurnia. kukenal suara itu. di suatu laut

jauh kudengari rintih lagu tengkujuh

berdendangan seperti sebuah dongeng.

apa yang melimpah ke musim panjang

bukanlah dongeng semata. apa yang turun

memenuhi lautan kembali menjadi tengkujuh.


Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.