ad

Merenung Luka: Antara Sastera dan Sejarah

22 Nov 2025, 12:30 AM
Merenung Luka: Antara Sastera dan Sejarah

Oleh Jack Malik

Malam telah larut

kulihat tapak tanganku

kubuka kembali balutan kainnya

tidak ada garis luka di situ

—Latiff Mohidin, Sekeping Cermin

Peranan sastera terhadap sejarah ialah bahasa, manakala peranan sejarah terhadap sastera ialah kandungan. Adakala, terbalik. Namun yang pasti, kedua-duanya saling memberi dan menerima.

Saling memperkaya dan diperkaya.

Sastera tidak sesekali berasingan dengan disiplin lain—begitu juga sebaliknya. Sebagaimana sastera diperkaya oleh keilmuan luar dari ruang pengaruhnya, sastera juga memperkayakan bidang keilmuan lain melalui kewujudannya.

Demikianlah sumbangan dan peranan setiap satunya.

Dalam episod kedua audio siar Sejarah Kita, Emeritus Prof. Dato’ Siti Zuraina Abdul Majid menerangkan bahawa arkeologi terbahagi kepada dua cabang: sejarah dan prasejarah. Satu mempunyai bantuan daripada dokumen, manakala satu lagi hanya memiliki bantuan daripada artifak.

Pada keluaran Dewan Sastera Bil. 01/2025, sajak saya Bunga Kertas: Soneta berjaya tembus untuk penerbitan majalah. Bulan hadapannya pula (Bil. 02/2025), saudara Salman Sulaiman menyumbangkan penulisannya di ruangan Kritikan Puisi.

Sebelum itu, izinkan saya menjelaskan tiga perkara iaitu (1) saya berlapang dada menerima kritikan Salman; (2) rencana ini bukan ingin menyerang saudara Salman dan mempertahankan karya saya, sebaliknya mahu membina wacana lanjut; (3) meneliti semula kritikan Salman. Berikut adalah petikan kritikan tersebut:

[Jack Malik] pencerita sekali gus perahsia. Penulis katakan rahsia kerana penyair bercerita tentang “bunga kertas” sebagai subjek utama sajak, namun apa yang berlaku di sebalik hal atau kisah bunga kertas ini tidak pula diceritakan… [T]idak ada cerita yang jelas tentang peristiwa besar yang berlaku dan bersangkut paut dengan bunga kertas itu.

Demi konteks untuk memudahkan pengalaman pembacaan, turut disertakan sajak saya yang tersiar sebelum ini, seperti berikut:

BUNGA KERTAS: SONETA

dalam jantungku ada kereta

api elektrik meraung panjang:

ada ruh timah serta cerita

tentang bunga kertas, tentang pulang:

setiap degupannya berbunyi

seperti dendam: selain rindu,

apakah yang dinamakan sunyi?

suara perak berlagu syahdu:

nyanyian batu kapur memanggil

dengan desahan sebuah lembah

ditinggalkan: betapa degilnya

jantungku: cahaya pun disimbah

pada bunga kertas yang menjalar

dalam dadaku: warnanya malar.

Kumpulan sajak perseorangan ketiga saya, Gampang! (2023), memetik “bunga kertas” sebanyak 10 kali sepanjang kumpulan itu. Pada tahun 1988, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menamakan Ipoh sebagai “Bandar Bunga Kertas”—tahun yang sama Ipoh mendapat status “bandar raya”. Dua tahun kemudian, keluarga saya menetap di Ipoh oleh sebab ibu saya berpindah tempat kerja dari Pulau Pinang. Pada tahun 1993, lahirnya seorang Jack Malik. Walaupun kedua-dua orang tua saya merupakan anak jati Kelantan, tetapi saya menganggap diri saya sebagai rakyat jelata Darul Slacker.

Begitulah secebis sejarah tentang hubungan Ipoh dan saya. Semua ini menjadi ilham untuk saya memasukkan bunga kertas ke dalam kepenyajakan saya dan menyerap sepenuhnya imej tersebut.

Rahsia yang dikatakan “[Jack Malik] memberitahu, tapi tidak ingin diketahui” pada pandangan saya tidak jauh tersasar. Walau bagaimanapun, lebih tepat saya kira sebenarnya “Jack Malik menunjuk kerana dia tidak ingin memberitahu.”

Tidak dinafikan—ada ketikanya—easter egg yang saya tinggalkan agak pinggiran dan memerlukan kadar kebolehkaitan tertentu. Ada perkara ingin saya tunjukkan rupa-rupanya tidak tercapai sepenuhnya. Maka, khilaf dan kesan (negatif) terhadap pengalaman pembacaan para pembaca puisi Jack Malik itu saya tanggung sepenuhnya jika ramai seperti saudara Salman berasakan “tidak ada cerita yang jelas… dan bersangkut paut” dalam citra kepenyajakan Jack Malik.

Namun, saya tetap percaya bahawa maklumat tentang kaitan antara bunga kertas dan bandar kelahiran saya tidak mustahil untuk dicapai. Dalam hal ini, saya juga yakin kaitan ditemui itu tidak akan membataskan teks puisi saya—tidak seperti yang dihujahkan dalam teori sastera Death of the Author.

Tidak keterlaluan jika saya menyatakan Gampang! merupakan “dokumen sejarah” kepenyajakan saya.

Seorang pengkritik sastera—pada hemat saya—wajar memiliki tatakerja seorang sejarawan atau arkeologis sejarah. Mengapa? Kerana konteks membantu kita meneliti sebuah teks dengan lebih jelas tanpa membeli-belah dalil dan fatwa sastera bagi memenangkan hujah.

Dalam episod rintis, hos bersama Eddin Khoo menjawab bahawa “luka utama negara kita ialah sejarah… [kerana] kita tidak tahu asal usul, kita tidak berani dan kita tidak punyai keupayaan untuk menyelami dunia yang sangat rumit.”

Haruki Murakami dalam novel 1Q84-nya menulis “kita tidak boleh berpeluk tubuh dan menatap luka kita selamanya.”

Patah tumbuh, hilang berganti. Setiap sembuh luka, pulih meninggalkan parut. “Semua sastera berparut,” jelas Hélène Cixous dalam Stigmata. “Sastera meraikan luka dan mengulangi luka itu.”

Sejarah dan sastera merupakan luka.

Mungkin, jika kita lebih tahu, lebih berani dan lebih berdaya untuk menitih peta parut yang rumit—dunia rahsia penuh cerita dan saksi utama paling bisu—berselirat secara zahir dan batin, barangkali kita tidak sekadar berpeluk tubuh dan bermenung sugul melihat bekas-bekas luka yang bermukim di segenap ruang luaran mahupun dalaman. Sebaliknya, kita meraikan parut itu.

Kita meraikan luka kita—luka sejarah, luka sastera kita. Sastera yang sarat dengan parut segar dan penuh luka lama; luka yang masih berdarah, kering dan berdarah kembali dalam lembaran sejarah bersama. Parut demi parut. Dalam audio siar sama, Prof. Siti Zuraina menjelaskan mengapa pentingnya untuk kita menggali semula sejarah:

Sebagai manusia, kita mempunyai ingatan. Kita ingin tahu apa yang berlaku sebelum kita. Hanya cara arkeologi sahajalah yang boleh kita mendapat bukti awal… Dan kita manusia—kita mempunyai ingatan.

Parut, luka, sejarah dan ingatan—setiap satunya mempunyai cerita dan dunianya.

Di tangan kanan saya, ada empat bekas luka pisau. Tangan kiri pula sebanyak tujuh. Sekurang-kurangnya, itulah beberapa parut masih jelas kelihatan. Tidak, tidak—ini bukan torehan sendiri. Parut ini peninggalan suatu tempoh, sebuah dunia yang halamannya sudah lama ditutup.

Seperti karya saya yang lain, pengakuan (baca: maklumat) dalam rencana ini sekali gus turut menjadi “dokumen” yang berkaitan dengan diri saya.

Selagi rencana ini boleh dicapai—secara analog mahupun digital—selagi itulah pembaca dan pengkaji yang berada jauh di masa hadapan dapat meneka apakah kepengarangan dan kepenyajakan seorang Jack Malik atau mana-mana penulis lain.

Jika Red Smith pernah bilang bahawa “kerja menulis itu mudah: kauhanya perlu duduk di hadapan mesin taip dan belah urat nadi engkau,” kemudian “darah” yang ditumpahkan itu dijadikan sebagai tinta, maka tulisan kita dapat difahamkan sebagai luka kita dan sejarah kita serentak.

Dan jika sejarah itu luka dan sebaliknya—adakah ingatan pula parut? Soalan susulan: berapa lamakah kita perlu atau diizinkan merenung parut tersebut?

Bila larut malam, bagaimanakah caranya untuk kita meraikan garis-garis yang ada dan tiada?