SHAH ALAM, 23 MEI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang melakukan pembakaran terbuka berikutan kesan negatifnya pada musim Monsun Barat Daya ketika ini.
EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata PBT juga diarah untuk bertindak segera sekiranya menerima laporan berhubung perkara itu selain sentiasa melakukan pemantauan.
“Sepanjang monsun ini, kita minta semua jaga kesihatan. Banyakkan minun air dan pastikan tak terdedah lama dengan keadaan cuaca yang terlalu tinggi,” katanya.
Beliau diminta mengulas persediaan pentadbiran mendepani fenomena Musim Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan hingga pertengahan September depan.
Untuk kali ini, cuaca diramal lebih panas dan kering berbanding kebiasaan, sekali gus boleh meningkatkan risiko jerebu serta kesan terhadap kesihatan awam.
Sementara itu, Mohd Najwan berkata PBT juga turut diarah menyelenggara dan menaik taraf sistem saliran sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh pada hujung tahun ini.
“Jangan tunggu waktu hujan baru nak buat. Kita kena buat sekarang supaya dapat elakkan kejadian banjir,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Monsun Barat Daya bermula 14 Mei dan dijangka berterusan sehingga September dengan taburan hujan lebih rendah serta cuaca lebih panas dan kering.








