SHAH ALAM, 21 MEI: Musim Monsun Barat Daya yang bermula Khamis lalu dijangka berterusan hingga pertengahan September ini dengan keadaan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan, sekali gus meningkatkan risiko jerebu serta menjejaskan kesihatan awam.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata sepanjang tempoh itu negara dijangka menerima jumlah hujan lebih rendah berbanding musim lain selain bilangan hari tanpa hujan lebih banyak, lapor Berita Harian.
“Walaupun secara umumnya musim ini lebih kering, hujan lebat, ribut petir dan angin kencang masih boleh berlaku di beberapa kawasan tertentu, terutama di barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah.
“Keadaan ini lazimnya berlaku pada awal pagi susulan kehadiran garis badai,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, Sarawak serta kawasan tengah hingga selatan pantai barat Semenanjung dijangka menerima kesan lebih ketara apabila taburan hujan diramal berada di bawah paras purata, terutama dari Jun hingga September.
Katanya, keadaan cuaca panas dan kering itu berpunca peningkatan suhu serta pengurangan kelembapan udara yang boleh memberi kesan terhadap kesihatan orang ramai.
Menurutnya, situasi berkenaan turut meningkatkan risiko dehidrasi dan strok haba, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan.
Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata, risiko jerebu dijangka meningkat ketika kemuncak Monsun Barat Daya berikutan cuaca lebih panas dan kering.
“Keadaan ini boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan, kawasan semak dan tanah gambut sama ada di dalam negara atau negara jiran.
“Sekiranya kebakaran tidak dikawal segera, asap yang terhasil berpotensi menyebabkan jerebu tempatan dan rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata, pengaruh fenomena El Nino lemah dijangka menjadi faktor utama yang menyumbang kepada keadaan cuaca lebih kering di beberapa kawasan tahun ini.
“Berdasarkan ramalan terkini model iklim global, fenomena El Nino lemah dijangka mula berkembang pada Jun 2026 dan berpotensi menguat serta berterusan hingga awal 2027.
“Ia sekali gus menyumbang kepada keadaan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka serta mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca terlalu panas.
Mereka juga disaran memastikan pengambilan air mencukupi, memakai pakaian bersesuaian dan sentiasa mengutamakan aspek kesihatan, khususnya bagi golongan berisiko.








