MB: PTRS bakal tambah subjek biologi tahun depan, perkukuh STEM

22 Mei 2026, 10:00 AM
MB: PTRS bakal tambah subjek biologi tahun depan, perkukuh STEM
MB: PTRS bakal tambah subjek biologi tahun depan, perkukuh STEM
MB: PTRS bakal tambah subjek biologi tahun depan, perkukuh STEM
MB: PTRS bakal tambah subjek biologi tahun depan, perkukuh STEM
MB: PTRS bakal tambah subjek biologi tahun depan, perkukuh STEM

SHAH ALAM, 22 MEI: Kerajaan Negeri bercadang menambah mata pelajaran baharu, biologi dalam modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) mulai tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah penambahan itu bertujuan mempertingkat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Tahun lepas kita sudah ada tambahan mata pelajaran matematik tambahan, tahun ini kita ada dua mata pelajaran baharu selepas matematik tambahan iaitu fizik dan kimia.

“Kalau ada keupayaan tahun depan kita boleh meneroka biologi dan ia akan mempertingkatkan lagi ketersediaan dan juga usaha dalam mempertingkatkan keputusan SPM dalam bidang STEM yang berdepan cabaran dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Peluncuran PTRS dan Program Didik Kasih di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam pada 22 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau berkata demikian pada majlis peluncuran PTRS dan Program Didik Kasih (PDK) 2026 di Dewan Raja Muda Musa hari ini.

Turut hadir, EXCO Belia Mohd Najwan Halimi, EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu dan Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Menurut Amirudin, terdapat 180,000 pelajar mengikuti kedua-dua program tersebut yang mana 160,000 pelajar tingkatan empat dan lima manakala selebihnya PDK untuk pelajar darjah pertama kelas pemulihan di seluruh Selangor untuk mempertingkatkan kemahiran asas 3M.

Pada masa sama, Amirudin menjelaskan modul PTRS ditambah baik dari semasa ke semasa oleh pasukan petugas khas yang merupakan bekas pegawai di Jabatan Pendidikan negeri.

“Mereka ini banyak membantu mempertingkatkan penyertaan pelajar selain menyemak silang serta membandingkannya dengan silibus tuisyen yang ada di luar sana.

“Walaupun ia dibuat sendiri oleh guru ini dengan tidak berorientasikan keuntungan kita tidak mengabaikan kualiti daripada segi kandungan dan kesediaan pelajar menuju SPM,” katanya.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berucap ketika Majlis Peluncuran PTRS dan Program Didik Kasih di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam pada 22 Mei 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sementara itu, Ahmad Azri memaklumkan PTRS merupakan inisiatif pendidikan teras Kerajaan Negeri yang diperkenalkan sejak 2009 bagi membantu pelajar yang memerlukan sokongan tambahan dalam akademik.

“Yayasan MBI menerima peruntukan RM15 juta dan satu pertiga daripadanya iaitu RM12 juta digunakan dalam bidang pendidikan termasuk PTRS.

“Kami akan terus komited memperkukuh ekosistem pendidikan Selangor melalui pelbagai inisiatif strategik yang memberi impak langsung kepada rakyat,” ujarnya.

Pada majlis sama, Amirudin menyampaikan insentif kecemerlangan berjumlah RM63,000 kepada 63 pelajar cemerlang. Beliau turut menyampaikan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) 2026 kepada 10 pelajar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.